PPZ-MAIWP terima RM53.25 juta bayaran zakat perniagaan

PPZ-MAIWP terima RM53.25 juta bayaran zakat perniagaan

MOHD Na’im Mokhtar (tengah) ketika menyaksikan penyerahan zakat kepada PPZ-MAIWP pada Majlis Zakat Korporat 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima bayaran zakat perniagaan kira-kira RM53.25 juta daripada 23 syarikat dalam Majlis Zakat Korporat 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, setakat separuh pertama tahun ini (Januari – Jun), kutipan zakat perniagaan adalah sebanyak RM76.3 juta.

Katanya, jumlah itu meningkat 1.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024. 

“Andai lebih banyak syarikat menjadikan zakat sebagai budaya korporat yang berterusan, saya yakin dan percaya kita akan mampu membuka lebih banyak jalan keluar daripada kemiskinan, bukan hanya memberi tetapi membina,” katanya ketika berucap di majlis tersebut di sini, semalam.

Turut hadir adalah Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman. 

Penyerahan zakat perniagaan tersebut disampaikan oleh wakil setiap syarikat kepada PPZ-MAIWP yang diwakili oleh Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Sri Amrin Awaluddin.  

Sementara itu, Mohd. Na’im berkata, orang ramai digalakkan untuk berwakaf melalui Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP) bagi menambah keberkatan di samping menunaikan zakat.

“Dalam kesempatan ini juga, saya ingin mengajak semua untuk turut berwakaf melalui PPZ-MAIWP.

“Ini merupakan tahun ketiga PPZ-MAIWP diberi amanah mengutip wakaf tunai di Wilayah Persekutuan dan sambutan semakin memberangsangkan,” katanya.

Beliau memaklumkan, masih terdapat 35 projek wakaf khas yang memerlukan pembiayaan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM387 juta.

“Justeru, sambil menunaikan zakat, rebutlah peluang menambah keberkatan dengan menyumbang wakaf tunai agar manfaatnya sampai lebih cepat kepada mereka yang memerlukan,” tambah beliau. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×