Pertumbuhan ekonomi dijangka sekitar 3.7 peratus separuh kedua 2025

Pertumbuhan ekonomi dijangka sekitar 3.7 peratus separuh kedua 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertumbuhan ekonomi negara dijangka sekitar 3.7 peratus pada separuh kedua 2025 berbanding anggaran sekitar 4.5 peratus pada separuh pertama 2025 didorong oleh kelembapan permintaan luaran serta sentimen pengguna dan perniagaan yang lebih berhati-hati.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Afzanizam Abdul Rashid berkata, sentiment para peniaga dan isi rumah yang berhati-hati menyebabkan mereka tidak berbelanja secara besar-besaran.  

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia juga telah menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi global masing-masing. 

“IMF menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global 2025 daripada 3.3 peratus kepada 2.8 peratus, manakala Bank Dunia menyemak semula unjuran daripada 2.7 peratus kepada 2.3 peratus.

“Justeru, ekonomi Malaysia yang sifatnya terbuka kepada perkembangan global bakal berhadapan risiko downside yang kian meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Katanya, kesan utama adalah sentimen yang dijangka berhati-hati akibat kebimbangan terhadap impak kenaikan harga barang yang akan memberi kesan terhadap kuasa beli. 

“Justeru, ketidakfahaman terhadap dasar yang dilaksanakan akan menyebabkan tindakan reflek iaitu berhati-hati dalam membuat keputusan untuk berbelanja. 

“Bagaimanapun, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) membolehkan kerajaan memperkukuh pemberian bantuan secara bersasar kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan bantuan tunai di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM13 bilion tahun depan berupaya merangsang permintaan domestik.

Sementara itu, Pensyarah Kanan UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pertumbuhan ekonomi dijangka lebih perlahan pada separuh kedua 2025 dengan kadar inflasi teras yang berpotensi meningkat susulan tekanan luaran dan domestik.

“Antara faktor utama adalah keputusan rundingan semula tarif perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang dijangka dimuktamadkan bulan ini, susulan tempoh penangguhan selama 90 hari yang diumumkan bekas Presiden Donald Trump akan berakhir pada 10 Julai ini.

“Keputusan itu akan menjadi petunjuk penting kepada hala tuju perdagangan global dan memberi kesan langsung kepada eksport Malaysia, khususnya ke pasaran AS,” jelasnya.

Beliau berkata, konflik geopolitik berterusan seperti ketegangan Israel-Iran dan peperangan Rusia-Ukraine terus menekan harga minyak mentah global.

Tambahnya, dalam tempoh penyesuaian ini, ekonomi domestik dijangka menyerap pelbagai perubahan struktur yang diperkenal di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.

“Sektor seperti borong dan runcit, perkilangan, pembinaan serta perkhidmatan perlu mengimbangi permintaan dan penawaran bagi mengekalkan kelangsungan operasi.

“Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) antara yang paling terkesan dan perlu segera menstrukturkan semula model perniagaan masing-masing agar kekal berdaya saing dalam persekitaran ekonomi yang mencabar,” katanya.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN