PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia meningkat 4.8 peratus kepada RM1.465 trilion pada separuh pertama tahun ini, berbanding tempoh yang sama 2024, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurut kenyataannya, eksport naik 3.8 peratus kepada RM760.2 bilion dan import bertambah 5.9 peratus kepada RM704.67 bilion, dengan lebihan dagangan sebanyak RM55.53 bilion telah direkodkan pada tempoh tersebut.
Katanya, prestasi perdagangan pada Jun 2025, walau bagaimanapun, mencatat penurunan kecil sebanyak 1.2 peratus kepada RM234.85 bilion berbanding Jun 2024.
“Eksport menyusut 3.5 peratus kepada RM121.72 bilion, manakala import meningkat 1.2 peratus kepada RM113.13 bilion. Lebihan dagangan kembali meningkat pada Jun 2025 kepada RM8.59 bilion, berbanding RM759.9 juta yang direkodkan pada Mei 2025.
“Ini merupakan lebihan yang ke-62 bulan berturut-turut sejak Mei 2020, sekali gus mencermin ketahanan berterusan dalam kedudukan perdagangan luar Malaysia,” katanya.
MITI berkata, penurunan eksport ini disebabkan terutamanya oleh pengurangan eksport barangan perkilangan dan hasil galian, khususnya keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.
Menurutnya, sebahagian daripada penyusutan ini telah diimbangi oleh peningkatan berterusan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, yang mencatatkan pertumbuhan dua digit pada Jun 2025, meneruskan momentum pertumbuhan bagi 15 bulan berturut-turut.
“Ini turut disokong oleh kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan elektrik dan elektronik (E&E).
“Prestasi eksport barangan E&E dilihat sejajar dengan unjuran World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) yang mengunjurkan peningkatan 11.2 peratus dalam jualan semikonduktor global bagi tahun 2025.
“Dari segi destinasi, eksport ke rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan mencatatkan kenaikan. Peningkatan turut direkodkan ke Mexico, didorong terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi bagi barangan E&E,” ujarnya.
Berhubung langkah tarif oleh AS, MITI berkata, Malaysia kekal komited untuk meneruskan libat urus ke arah mencapai aturan perdagangan yang seimbang dan memberi manfaat bersama.
“MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) juga sedang mempergiatkan usaha membina ekosistem perdagangan yang lebih berdaya tahan.
“Ini termasuklah langkah proaktif mempelbagaikan pasaran eksport dan memperkukuhkan hubungan perdagangan melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA), bagi meluaskan rangkaian rakan dagangan dan membangunkan ekonomi yang lebih kukuh dalam menghadapi cabaran luaran,” ujarnya. – UTUSAN