Penilaian menarik buka ruang kemasukan semula dana asing

Penilaian menarik, inisiatif strategik buka ruang kemasukan semula dana asing

FAD’L Mohamed ketika Taklimat media keputusan kewangan Bursa Malaysia 1H2025 Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) melihat potensi kemasukan semula dana asing ke pasaran tempatan susulan faktor penilaian semasa yang dianggap menarik serta pelaksanaan beberapa inisiatif strategik negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, walaupun aliran keluar dana asing direkodkan di kebanyakan pasaran negara serantau pada penghujung tahun lalu berikutan ketidaktentuan global, keadaan semasa dilihat lebih kondusif untuk pelabur asing mempertimbangkan semula penyertaan mereka.

“Seperti yang kita tahu, dana asing sentiasa mencari pasaran yang dianggap selamat. Pada penghujung tahun lalu, ketika terdapat banyak ketidaktentuan, kita menyaksikan aliran keluar dari kebanyakan pasaran serantau.

“Namun, mengambil kira penilaian pasaran semasa dan beberapa pelan strategik yang telah diketengahkan, ini mungkin menjadi masa sesuai untuk dana asing kembali semula ke pasaran tempatan,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Keputusan Kewangan Bursa bagi separuh pertama 2025 di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kebimbangan dominasi tawaran awam permulaan (IPO) syarikat kecil (small-cap) pada 2025 menjejaskan kualiti dan kredibiliti pasaran modal negara, beliau berkata, Bursa Malaysia tidak melihat ia sebagai faktor boleh menjejaskan kualiti dan kredibiliti pasaran modal negara.

Katanya, pasaran ekuiti tempatan kekal memiliki tahap kecairan yang mencukupi untuk menyokong keperluan pembiayaan, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertumbuhan sederhana.

“Kami berperanan penting sebagai platform yang membantu pertumbuhan syarikat-syarikat ini, termasuk dalam aspek pembelian aset baharu (capex),” katanya. 

Mengulas lanjut mengenai prestasi harga saham pasca penyenaraian yang lemah, beliau berkata, ia banyak bergantung kepada faktor luaran seperti sentimen pasaran global dan prestasi sektor masing-masing.

“Kejayaan IPO tidak seharusnya diukur hanya menerusi pergerakan harga saham selepas penyenaraian, tetapi kepada nilai jangka panjang syarikat itu sendiri. 

“Justeru, proses ketekunan wajar (due diligence) sebelum sesuatu IPO diluluskan adalah ketat dan menyeluruh, melibatkan bank pelaburan, penasihat undang-undang dan juruaudit.

“Integriti pasaran serta perlindungan pelabur kekal menjadi keutamaan utama kami,” katanya. 

Dalam pada itu, Fad’l Mohamed berkata, sehingga hari ini, sebanyak 38 syarikat telah disenaraikan pada 2025 dengan enam di Pasaran Utama, 29 di Pasaran ACE dan tiga di Pasaran LEAP, dengan jumlah dana melebihi RM4.2 bilion telah berjaya dikumpul. 

“Kami juga melihat minat terhadap penyenaraian sekunder dari Singapura dan akan menyambut kemasukan UMS Integration Limited, syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Singapura (SGX), bagi penyenaraian sekunder di Pasaran Utama seawal Jumaat ini. 

“Aliran penyenaraian IPO kekal kukuh dengan permohonan sedang diproses oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia. 

“Sehubungan itu, berdasarkan aliran IPO yang dinyatakan, sasaran kami untuk mencapai 60 IPO serta sasaran permodalan pasaran masih berada dalam jangkauan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN