Pelabur asing teruskan aliran jualan bersih RM206.1 juta

Pelabur asing teruskan aliran jualan bersih RM206.1 juta

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabur asing meneruskan aliran jualan bersih mereka selama dua minggu berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM206.1 juta pada minggu lalu, menurut MBSB Research. 

Firma penyelidikan berkata, pelabur asing adalah penjual bersih pada setiap hari dagangan kecuali Isnin dan Jumaat, dengan aliran keluar harian antara RM61.9 juta hingga RM173.3 juta. 

“Aliran keluar terbesar direkodkan pada hari Rabu, diikuti oleh Selasa pada RM88.3 juta dan Khamis (RM61.9 juta). 

“Pada Isnin dan Jumaat pula mencatatkan aliran masuk bersih masing-masing sebanyak RM1.21 juta dan RM116.2 juta,” katanya dalam nota Aliran Tunai. 

Menurut MBSB Research, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi adalah pembinaan (RM199.5 juta), pengangkutan dan logistik (RM102.1 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM94.7 juta). 

Sementara itu, tiga sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih asing tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM525.4 juta), teknologi (RM86.1 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM71.8 juta). 

“Institusi tempatan pula berpatah balik daripada momentum belian mereka minggu lalu, menamatkan lapan minggu berturut-turut aliran masuk bersih dengan mencatatkan pengeluaran bersih sebanyak RM33.3 juta,” katanya. 

Dalam masa yang sama, peruncit tempatan meneruskan aktiviti belian bersih mereka selama dua minggu berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM239.4 juta, kira-kira empat kali ganda lebih tinggi berbanding aliran masuk minggu sebelumnya sebanyak RM52.7 juta.

“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan kenaikan secara menyeluruh minggu lalu, kecuali bagi institusi tempatan. 

“Pelabur asing dan peruncit tempatan masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 6.9 peratus dan 9.0 peratus, manakala institusi tempatan mencatatkan penurunan sebanyak 2.6 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN