MSM dijangka didagangkan RM4,100 hingga RM4,300 

MSM dijangka didagangkan RM4,100 hingga RM4,300 

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Minyak sawit mentah (MSM) dijangka didagangkan antara RM4,100 hingga RM4,300 dalam tempoh sebulan akan datang, berikutan permintaan perayaan dari India dan harga minyak soya Amerika Syarikat (AS) yang tinggi. 

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, stok minyak sawit Malaysia meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan kepada 2.03 juta tan pada Jun, didorong oleh penurunan eksport bulanan sebanyak 10.5 peratus kepada 1.26 juta tan. 

Katanya, walaupun berlaku penyusutan, jumlah eksport Jun 2025 masih lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu 1.19 juta tan pada Jun 2022, 1.17 juta tan (Jun 2023) dan 1.21 juta MT (Jun 2024).

“Susulan lonjakan harga minyak soya yang meningkat sebanyak 19 peratus sejak Januari, harga minyak sayuran global telah pulih daripada kemerosotan pada awal tahun. 

“Namun begitu, lonjakan harga minyak sayuran mungkin dihadkan oleh bekalan biji minyak global yang mencukupi, khususnya kacang soya, memandangkan tiada kekurangan bahan mentah di pasaran ketika ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, kenaikan tersebut mengatasi peningkatan minyak biji sesawi sebanyak 6.6 peratus dan minyak sawit berjumlah 3.7 peratus, manakala minyak bunga matahari kekal stabil dengan peningkatan sederhana 1.7 peratus. 

Tambahnya, India dijangka mengimport sekitar 2.9 juta tan minyak sawit dalam suku ketiga bagi memenuhi permintaan musim perayaan Diwali pada pertengahan Oktober. 

“Setakat bulan Mei dan Jun, import bulanan minyak sawit Malaysia oleh India kekal melebihi 250,000 tan. Kami jangka momentum ini akan berterusan sehingga suku ketiga, disokong oleh aktiviti penstokan semula menjelang perayaan Diwali pada pertengahan Oktober ini dan harga yang kompetitif,” katanya. 

Dalam pada itu, Kenya muncul sebagai pembeli minyak sawit kedua terbesar dari Malaysia, mengatasi EU27 sebanyak 21,000 tan dan China sebanyak 117,000 tan bagi separuh pertama tahun 2025.

“Kenya kini menyumbang 30 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia ke Sub-Sahara Afrika dengan jumlah import sepanjang tahun diunjur mencecah 1.3 juta tan menjadikan negara itu sebagai pasaran pertumbuhan utama,” katanya. 

Mengulas lanjut tentang pasaran global, pengeluaran kacang soya di Amerika Selatan diramalkan meningkat sebanyak lapan juta tan pada tahun 2026 kepada 245 juta tan. 

“Pengeluaran yang banyak itu bakal memberi tekanan kepada harga kacang soya dan stok minyak soya AS pada 2026 dijangka meningkat dua kali ganda berbanding paras tahun 2023 disebabkan lebihan stok dan penurunan mendadak eksport ke China,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN