PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding 3.00 peratus sebelumnya.
BNM berkata, kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada tiga peratus dan 2.5 peratus.
“Walaupun ekonomi domestik berada pada kedudukan yang kukuh, ketidaktentuan mengenai perkembangan luaran boleh menjejaskan prospek pertumbuhan Malaysia.
“Oleh itu, pengurangan dalam OPR adalah langkah awal yang bertujuan untuk memelihara laluan pertumbuhan Malaysia yang stabil di tengah-tengah prospek inflasi yang sederhana.
“MPC akan terus berwaspada terhadap perkembangan yang berterusan dan menilai keseimbangan risiko yang mengelilingi prospek pertumbuhan dalam negeri dan inflasi,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN