Minat automotif, Abu Zarin kembang perniagaan

Minat automotif, Abu Zarin kembang perniagaan dalam bidang hiasan dalaman

ABU Zarin mempamerkan sebahagian hasil kerja yang dibuat dalam bidang pengubahsuaian dalaman kenderaan melalui Acik Kusyen Enterprise di Senawang. – UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan minat dan pengalaman praktikal dalam bidang automotif, Abu Zarin Abu Hassan, graduan politeknik kini berjaya mengembangkan perniagaannya dalam bidang pengubahsuaian dalaman kenderaan melalui Acik Kusyen Enterprise di Senawang.

Abu Zarin memulakan perniagaan ini pada 2011 dengan sebuah bengkel kecil yang menawarkan khidmat jahitan kusyen dan pengubahsuaian dalaman kenderaan. 

Dia yang mempelajari bidang automotif di politeknik, kemudian bekerja bersama abangnya dalam bidang yang sama sebelum memulakan langkah sendiri.

“Saya memang minat kereta, terutama bahagian dalaman. Dari membalut stereng, saya belajar sedikit demi sedikit menjahit kusyen sehingga boleh siapkan set hiasan penuh dalaman kenderaan,” katanya ketika ditemui di bengkel baharunya yang lebih luas dan lengkap di Senawang di sini.

Menurut Abu Zarin, harga perkhidmatan bergantung kepada jenis kenderaan, bahan serta reka bentuk yang dipilih pelanggan. 

Harga permulaan bagi jahitan kusyen menggunakan bahan PVC bermula sekitar RM900, manakala bagi kenderaan yang menggunakan bahan kulit pula boleh mencecah RM3,000.

Bagi pelanggan yang ingin melakukan pengubahsuaian dalaman secara menyeluruh termasuk papan pemuka, karpet dan pelapik pintu pula, katanya, kos boleh meningkat antara RM7,000 hingga RM9,000, ter­utamanya bagi kenderaan antik yang datang dalam keadaan rangka kosong.

“Kami biasa siapkan satu atau dua kenderaan sehari bergantung kepada tempahan. 

“Semasa musim perayaan, kami bekerja hingga lewat malam. Pelanggan datang dari pelbagai negeri, ada dari Johor dan juga yang mengenali bengkel ini melalui platform YouTube atau saranan pelanggan lama,” tambahnya.

Perjalanan perniagaan ini turut dibantu oleh isterinya, Nurzubidah Abu Bakar, 33, yang bertanggungjawab dalam kerja-kerja menjahit kusyen dan memastikan kualiti hasil kerja sentiasa konsisten. 

Pasangan ini berjaya membina reputasi yang kukuh sehingga pelanggan lama terus kembali walaupun bengkel telah berpindah ke lokasi baharu sejak awal tahun ini.

Abu Zarin memberitahu, dia menyertai program bimbingan keusahawanan di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) pada 2022 dan menerima sumbangan peralatan bernilai RM10,000, termasuk mesin jahit industri, mesin vakum dan peralatan lain yang diperlukan untuk meningkatkan produktiviti bengkel. 

“Bantuan dari RISDA bukan sekadar mesin, tetapi juga kursus keusahawanan, pengurusan kewangan dan teknik mengurus pelanggan. Ini sangat membantu kami dalam mengembangkan perniagaan,” katanya.

Bagaimanapun, laluan kejayaannya bukan mudah dan semasa pandemik Covid-19, dia mengalami kejatuhan pendapatan yang mendadak dan terpaksa menanggung kos sewa serta gaji pekerja.

“Ketika itu, saya terpaksa mendapatkan bantuan kewangan daripada Tabung Kumpulan Ekonomi Usaha Niaga (TEKUN) Nasional untuk menampung kos operasi sehingga perniagaan stabil kembali,”jelasnya. 

Kini, dengan permintaan yang semakin meningkat, Acik Kusyen Enterprise menerima tempahan secara berterusan. 

Bengkel ini juga menawarkan kelebihan dari segi keluasan ruang dan kemudahan penyimpanan kenderaan pelanggan yang menunggu giliran servis.

“Saya amat mementingkan kualiti daripada kuantiti dan itu menjadi keutamaan dalam perkhidmatan kami di sini. Saya turut menawarkan diskaun kepada pelanggan tetap dan memberi ruang rundingan harga jika membuat tempahan dalam jumlah yang banyak,” katanya yang mampu meraih pendapatan kasar RM30,000 sebulan. 

Dengan peningkatan permintaan dan reputasi yang semakin kukuh, Abu Zarin kini menyasarkan untuk mengembangkan perniagaan ke Lembah Klang dan menambah tenaga kerja dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN