KUALA LUMPUR: Rangkaian minuman teh global, Gong Cha, mengorak langkah ke hadapan dengan pelan strategik jangka sederhana dan panjang yang menekankan komitmen terhadap kualiti produk serta inovasi berterusan, di samping memperkukuh pertumbuhan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Teafe (M) Sdn. Bhd.,Billy Koh berkata, berbeza dengan pendekatan agresif yang biasa dilihat dalam industri makanan dan minuman (F&B), Gong Cha memilih untuk mengekalkan fokus terhadap penyediaan minuman berkualiti tinggi.
Katanya, syarikat menegaskan penggunaan daun teh premium, bahan-bahan segar, serta amalan keselamatan makanan yang ketat kekal sebagai asas utama jenama.
“Inovasi juga merupakan tunjang utama kami. Kami sentiasa memperkenalkan minuman baharu yang menarik, dan sedang meneroka potensi penghasilan snek melalui unit penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sejak mula beroperasi di Malaysia 14 tahun lalu, Gong Cha kini mengendalikan hampir 60 cawangan di seluruh negara.
Tambah Billy, dengan pertumbuhan strategik antara lima hingga 10 cawangan baharu setiap tahun, syarikat merancang untuk menembusi pasaran yang belum diterokai, terutamanya di kawasan Pantai Timur susulan kejayaan mendapatkan pensijilan halal.
“Di peringkat antarabangsa, Gong Cha menetapkan sasaran yang lebih besar. Pasukan global menyasarkan pembukaan 10,000 cawangan di seluruh dunia menjelang 2032, dengan peluasan terkini merangkumi pasaran Eropah dan Timur Tengah.
“Kami mahu menjadikan Gong Cha sebagai jenama global yang dikenali ramai dan menjadikan bubble tea sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian pengguna di seluruh dunia,” katanya.
Menurutnya, langkah strategik ini dilihat sebagai satu usaha menyeluruh untuk menyeimbangkan pertumbuhan mampan dengan nilai jenama yang berpaksikan kualiti, inovasi dan pengalaman pelanggan, sejajar dengan perubahan selera dan kehendak pengguna moden.
Selain itu, jelas beliau sebagai rangkaian F&B, menu mereka agak konsisten di seluruh negara.
“Namun begitu, kami menyesuaikan strategi pemasaran mengikut pasaran setempat.
“Bagi bandar-bandar sibuk seperti Kuala Lumpur atau Johor Bahru, kami memberi tumpuan kepada kepantasan perkhidmatan, promosi terhad yang menarik serta kempen yang mengikut trend semasa.
“Perkhidmatan penghantaran juga amat penting, pelanggan bandar kami sentiasa sibuk; mereka mengutamakan kemudahan dan bergantung kepada aplikasi untuk segala-galanya, sama ada makan tengah hari yang cepat atau pencuci mulut harian,” katanya.-UTUSAN