FMM gesa cuti 15 September digazetkan, elak kerugian

FMM gesa cuti 15 September digazetkan, elak kerugian hingga RM1b dalam sektor pembuatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) gesa cuti umum 15 September yang baru diumumkan digazetkan segera kerana kelewatan berbuat demikian boleh menyebabkan sektor pembuatan kehilangan produktiviti sehingga RM1 bilion.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, ini penting untuk memberikan kejelasan undang-undang dan membolehkan perniagaan merancang operasi, penjadualan tenaga kerja, dan memastikan pematuhan dengan Akta Kerja 1955.

Katanya, sektor pembuatan sangat sensitif terhadap pengisytiharan cuti saat akhir disebabkan garis masa pengeluaran yang berjadual padat, komitmen eksport dan peralihan buruh.

“Mengisytiharkan hari Isnin, 15 September sebagai hari cuti mewujudkan gangguan selama empat hari bagi banyak pengeluar (meliputi hari Sabtu hingga Selasa untuk operasi berasaskan syif dan berterusan).

“Oleh itu, FMM menggesa kerajaan segera mengeluarkan pemberitahuan gazet rasmi yang mengesahkan status cuti di bawah Akta Hari Kelepasan 1951 (sama ada Seksyen 8 atau Seksyen 9),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengisytiharkan Isnin, 15 September 2025, sebagai cuti umum tambahan sempena sambutan Hari Malaysia, selain mengambil maklum kenyataan Menteri Sumber Manusia untuk majikan dikehendaki mematuhi cuti ini.

Thian Lai berkata, gangguan sedemikian memerlukan bahagian pengeluaran untuk berhenti dan dimulakan semula, yang memerlukan kos dan tidak cekap.

“Berdasarkan anggaran lepas, setiap tambahan cuti umum yang tidak dirancang boleh mengakibatkan sehingga RM1 bilion dalam produktiviti dan kerugian keluaran bagi sektor pembuatan sahaja.

“Kesannya amat teruk bagi industri berorientasikan eksport dan industri yang mempunyai proses berterusan seperti keluli, pemprosesan makanan dan bahan kimia.

“Perusahan kecil dan sederhana (PKS), khususnya akan menghadapi cabaran dalam menyerap kos ini atau menguruskan kerja lebih masa dan syif gantian. Gangguan ini juga mempunyai kesan melata merentas rantaian bekalan dan operasi logistik,” ujarnya.

Selain itu, FMM menekankan bahawa pengumuman dasar mesti mencerminkan kejelasan, konsistensi, kepastian dan kredibiliti.

Tambahnya, pengisytiharan cuti secara tiba-tiba yang kerap tidak memberi petanda baik bagi negara yang berusaha mencapai status negara berpendapatan tinggi dan meletakkan dirinya sebagai destinasi yang kompetitif, boleh dipercayai dan menarik untuk pelaburan.

“Pelabur dan pembeli global memerlukan kebolehramalan dan kestabilan. Perubahan mendadak yang mengganggu pengeluaran dan komitmen rantaian bekalan berisiko menjejaskan daya saing Malaysia, terutamanya apabila negara bekerja keras untuk mendapatkan peluang rantaian bekalan global dan pelaburan bernilai tinggi.

“Walaupun FMM menghargai semangat menyambut Hari Malaysia, kami menggesa kerajaan untuk menyegerakan gazet rasmi untuk memberikan kejelasan undang-undang segera dan membolehkan perniagaan mengurus risiko operasi dengan berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN