PETALING JAYA: Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) memberi teguran secara terbuka ke atas lima bekas perunding skim unit amanah (UTS) dan/atau skim persaraan swasta (PRS) bagi salah laku atau pelanggaran terhadap Peraturan Konsolidasi FIMM.
FIMM berkata, empat bekas perunding itu didapati telah mengemukakan sijil akademik palsu yang menjadi sebahagian daripada permohonan pendaftaran dan/atau pendaftaran semula sebagai perunding kepada pengedar masing-masing.
“Bekas perunding ini telah disekat daripada mendaftar dengan FIMM bagi tempoh masa tertentu,” katanya dalam kenyataan.
Individu terbabit itu ialah Khafidah Adam, Nurul Qamariah Kalah, Rossidi Jalaludin dan Sathiskumar Sanggar.
FIMM berkata, Nurfarhana Atiqah Mohamad pula didapati melanggar Kod Etika dan Peraturan Tatakelakuan Profesional FIMM (Dana Unit Amanah) dengan melakukan beberapa transaksi tanpa kebenaran, penyampaian maklumat mengelirukan serta penyelewengan dana. – UTUSAN