PETALING JAYA: Etiqa, cabang insurans dan takaful di bawah Kumpulan Maybank baru-baru ini melancarkan satu penyelesaian takaful berasaskan pelaburan patuh syariah yang pertama seumpamanya, eksklusif untuk pelanggan Maybank.
Disokong oleh permintaan tinggi dan komitmen Kumpulan Maybank terhadap penyelesaian pengurusan kekayaan patuh syariah, Pelan Takaful Dynamic Horizon itu dijangka mencatatkan jualan melebihi RM30 juta dalam tempoh 12 bulan pertama.
Ketua Pegawai Eksekutif, Etiqa Family Takaful Berhad berkata, Zafri Ab Halim berkata, Etiqa percaya bahawa pemerkasaan kewangan bermula dengan akses, kepercayaan dan inovasi.
“Dynamic Horizon mencerminkan komitmen kami dalam menawarkan penyelesaian patuh syariah yang bukan sahaja melindungi keluarga, tetapi juga membantu mereka membina kekayaan secara bertanggungjawab.
“Dengan memperkasa pelanggan untuk merancang masa depan dengan yakin dan meninggalkan legasi bermakna, Dynamic Horizon selari dengan tujuan korporat kami iaitu ‘Menjadikan Dunia Tempat yang Lebih Baik’,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Nor Shahrizan Sulaiman berkata, pelan ini bakal merubah cara rakyat Malaysia merancang dan melindungi kekayaan mereka serta mengukuhkan lagi kedudukan Maybank sebagai peneraju pengurusan kekayaan patuh syariah.
Katanya, pelanggan hari ini mencari penyelesaian yang mencerminkan bukan sahaja matlamat kewangan semata-mata, tetapi juga tentang pegangan nilai dan kepercayaan mereka.
“Dynamic Horizon menjawab keperluan itu dengan menawarkan perlindungan bermakna sambil memelihara niat untuk generasi akan datang.
“Sama ada melalui hibah atau perancangan pewarisan harta tersusun, kami berasa berbesar hati dapat menawarkan pelan takaful yang memberikan kejelasan, ketenangan dan ketulusan,” ujarnya.
Sejak dilancarkan, produk ini menerima sambutan yang sangat menggalakkan, terutamanya dalam kalangan pelanggan Pengurusan Kekayaan patuh Syariah (IWM) Maybank Islamic yang ingin menyelaraskan perancangan kewangan mereka dengan nilai dan hasrat pewarisan untuk generasi akan datang.
Jelasnya, ia mencatatkan peningkatan lebih tiga kali ganda daripada sasaran jualan bulanan.
Dynamic Horizon ialah produk takaful berkait pelaburan sumbangan tunggal yang menggabungkan perlindungan menyeluruh dengan pelbagai pilihan pelaburan patuh syariah.
“Dengan tumpuan kepada perancangan pewarisan harta, pelan ini menawarkan manfaat hibah, penukaran dana yang fleksibel serta perlindungan sehingga 125 peratus daripada jumlah sumbangan tunggal.
“Ini sekali gus memberikan perlindungan jangka panjang dan potensi pertumbuhan kekayaan dalam satu pelan menyeluruh,” jelasnya.-UTUSAN