e.MAS 7 catat penghantaran lebih 4,000 unit hingga Jun

e.MAS 7 catat penghantaran lebih 4,000 unit hingga Jun

PENGUASAAN pasaran e.MAS 7 adalah sebanyak 23.4 peratus setakat 30 Jun 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton e.MAS 7 mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan apabila mencatatkan penghantaran sebanyak 4,003 unit bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, sekali gus menjadikannya model EV paling laris di Malaysia bagi enam bulan pertama tahun ini.

Pencapaian itu mewakili penguasaan pasaran sebanyak 23.4 peratus setakat 30 Jun lalu.

Selain permintaan kukuh di pasaran domestik, e.MAS 7 juga mula menembusi pasaran eksport, dengan 250 unit dihantar ke beberapa negara termasuk Trinidad dan Tobago.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET), Zhang Qiang berkata, pertumbuhan konsisten itu didorong oleh harga kompetitif dan keyakinan pelanggan terhadap nilai jangka panjang yang ditawarkan model berkenaan.

“Kami komited untuk membina kepercayaan jangka panjang tanpa bergantung kepada diskaun besar-besaran. 

“Harga kekal kompetitif sejak pelancaran, membuktikan fokus kami terhadap nilai tambah dan pengalaman pengguna,” katanya dalam kenyataan.

Model e.MAS 7 dibangunkan hasil pelaburan intensif dan melepasi lebih 700,000 jam kerja teknikal serta 100,000 kilometer ujian jalan raya sebenar bagi memastikan ia sesuai dengan keadaan cuaca dan permukaan jalan tempatan.

Inisiatif itu seiring dengan aspirasi negara mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Sejak Januari 2024, Pro-Net turut membangunkan rangkaian pengedarnya melibatkan 35 pengedar, masing-masing menerima pelaburan lebih RM2 juta bagi membina kemudahan khas EV termasuk pusat servis dan pengecas pantas DC. 

Secara keseluruhan, inisiatif berkenaan telah mewujudkan lebih 700 peluang pekerjaan di seluruh negara.

Dalam pada itu, sehingga kini, lebih 3,300 titik pengecasan disepadukan melalui Peta Pengecasan Bersepadu (Live Integrated Charging Map) hasil kerjasama dengan pelbagai pengendali stesen pengecasan. 

Daripada jumlah itu, lebih 1,100 kemudahan disediakan di 390 kediaman bertingkat.

Kerjasama itu dimulakan sejak 2022 melalui memorandum persefahaman dengan Gentari dan diperluas kepada 10 pengendali utama termasuk Charge+, ChargeSini, RExharge, Charge N Go, JomCharge, chargEV, DC Handal, Carput Zap dan Shell Recharge.

Sementara itu, bagi menggalakkan peralihan kepada EV, Pro-Net memperkenalkan program Power Exchange yang menawarkan rebat RM5,000 bagi pelanggan yang menukar beli kenderaan lama mereka, tertakluk kepada pemeriksaan dan kelulusan pihak berkenaan.

Maklumat lanjut dan sesi pandu uji boleh didapati di bilik pameran rasmi Proton e.MAS atau melalui saluran digital rasmi Proton e.MAS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×