Colombia Asia Batu Kawan perluas akses kesihatan wilayah utara

Colombia Asia Batu Kawan perluas akses kesihatan wilayah utara

HOSPITAL Columbia Asia Batu Kawan dilengkapi 31 klinik pakar dan lima dewan bedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Columbia Asia Hospital terus mengukuhkan komitmen terhadap penjagaan kesihatan berkualiti dengan pembinaan hospital ke-13 di Malaysia dan ke-19 di Asia Tenggara di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Pembinaan fasiliti yang pelbagai itu dilihat sebagai langkah strategik dalam memenuhi permintaan penjagaan kesiha­tan yang kian meningkat di Batu Kawan iaitu bandar satelit baharu yang pesat membangun. 

Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia Hospital Batu Kawan, Mohd Shafee Awang berkata, pemilihan Batu Kawan adalah tepat kerana kawasan itu memiliki potensi besar dari segi pertumbuhan penduduk, aksesibiliti serta pembangunan komersial dan kediaman yang rancak.

“Sebagai hospital swasta pertama di Batu Kawan dan hospital Columbia Asia pertama di Pulau Pinang, kami komited untuk menjadi penyedia penjagaan kesihatan pilihan bagi komuniti setempat

“Ini bukan sekadar hospital, tetapi simbol kepercayaan dan harapan untuk kesihatan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia. 

Shafee berkata, fasiliti moden enam tingkat itu telah mula beroperasi pada penghujung bulan lalu dan pelancaran rasmi dijadualkan pada Oktober ini. 

“Hospital ini akan dilengkapi 31 klinik pakar, lima dewan bedah, enam bilik bersalin, 213 katil wad serta pelbagai peralatan berteknologi tinggi termasuk imbasan CT 160-slice dan mesin MRI 1.5 Tesla. 

“Hospital ini juga menempatkan unit rawatan rapi (ICU), unit pengasingan serta makmal kateterisasi jantung (Cath Lab),” ujarnya. 

Jelas Mohd Shafee, hospital itu akan memberi manfaat kepada penduduk Batu Kawan dan kawasan sekitar seperti Bukit Tambun, Nibong Tebal, Perai, Bukit Tengah dan Parit Buntar yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada hospital di kawasan awam yang agak jauh.

“Kami percaya bahawa penjagaan kesihatan berkualiti seharusnya mudah diakses, tanpa perlu menempuh perjalanan jauh.

“Kehadiran kami di sini membolehkan masyarakat setempat mendapatkan rawatan pakar yang komprehensif lebih dekat dengan kediaman mereka,” katanya. 

Selain perkhidmatan rawatan pesakit, beliau berkata, hospital itu turut merancang pelbagai inisiatif komuniti seperti program kesedaran kesihatan, bengkel gaya hidup sihat serta kerjasama dengan sekolah dan rumah kebajikan bagi mendidik generasi muda tentang penjagaan kesihatan.

“Kami mahu menjadi lebih daripada sekadar penyedia perkhidmatan perubatan. Kami mahu menjadi sebahagian daripada komuniti menyumbang kepada kesejahteraan mereka secara menyeluruh

Selain itu, katanya, sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang, kapasiti katil akan ditingkatkan dalam Fasa 2, sejajar dengan pertambahan permintaan dan sokongan kepada sektor pelancongan perubatan di Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN