PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Bhd. memperuntukkan lebih RM100 juta bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja, khususnya dalam bidang teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), data dan kelestarian.
Bank itu berkata, pelaburan tersebut seiring dengan usaha CIMB memperkasa warga kerja dalam menjayakan agenda pertumbuhan inklusif dan penciptaan nilai jangka panjang kepada pelanggan dan masyarakat.
CIMB memaklumkan semua pekerja tetap CIMB di Malaysia, kini menerima gaji bulanan melebihi paras kehidupan wajar nasional sebanyak RM3,100 sebulan, seperti yang digariskan dalam Panduan Perbelanjaan Belanjawanku oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Langkah ini menyokong inisiatif Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) di bawah Kementerian Kewangan, yang menekankan amalan pampasan adil dan inklusif berdasarkan kadar pasaran bagi memastikan para pekerja mampu mencapai taraf hidup yang selesa,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, pihaknya komited memastikan pekerja diberi ganjaran yang selaras dengan nilai kerja yang disumbangkan.
“Sebagai satu langkah semula jadi, kami menyokong penuh inisiatif GEAR-uP dalam usaha ‘meningkatkan lantai’ gaji dan kami kekal proaktif dalam menjalin kerjasama bersama semua pihak berkepentingan.
“Struktur ganjaran kami bukan sahaja melibatkan gaji asas, malah merangkumi elaun dan imbuhan yang adil serta mencerminkan sumbangan dan nilai sebenar pekerja,” katanya.
Dalam memastikan tenaga kerja kekal relevan dan kompetitif, CIMB melaksanakan pelbagai inisiatif peningkatan kemahiran termasuk program reskilling dan upskilling secara berterusan.
Bagi 2024 sahaja, kumpulan itu telah mencatatkan 2.66 juta jam pembelajaran dengan penekanan terhadap bidang digital, data dan AI selaras dengan keperluan semasa industri kewangan.
“Fokus kami adalah untuk membina tenaga kerja yang lebih inklusif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.-UTUSAN