PETALING JAYA: Castrol Malaysia melancarkan dua pilihan minyak enjin baharu, Castrol CRB TURBOMAX 10W-40 CK-4/E9 dan Castrol CRB TURBOMAX 5W-40 CK-4/SN bagi memenuhi keperluan pelbagai trak komersial, daripada trak tugas berat sehingga kenderaan tugas ringan.
Kedua-dua minyak enjin tersebut dicipta menggunakan Teknologi Durashield, yang direka untuk memberikan tiga kali perlindungan terhadap haba, mendapan dan geseran, sekali gus memanjangkan jangka hayat enjin dan meningkatkan prestasi keseluruhan.
Menurut Castrol, Castrol CRB TURBOMAX 10W-40 CK-4/E9 adalah minyak enjin diesel tugas berat teknologi sintetik untuk kegunaan enjin diesel 4 lejang berkelajuan tinggi yang menggunakan bahan api pelbagai kualiti.
“Trak tugas berat beroperasi dalam persekitaran yang mencabar, termasuk tempoh operasi yang panjang, mengangkut muatan berat dan berdepan cuaca buruk.
“Jadi apabila enjin trak beroperasi pada tahap maksimum, haba boleh memecahkan molekul minyak, lalu membawa kepada pembentukan mendapan yang menyebabkan kerosakan.
“Namun dengan Teknologi Durashield, enjin dapat dilindungi daripada kerosakan dengan mengurangkan haba, mencegah pembentukan mendapan dan mengurangkan geseran,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, teknologi tersebut membolehkan enjin bertahan lebih lama dan bergerak dengan lebih lancar, sekali gus mengurangkan kos operasi.
Sementara itu, Castrol CRB TURBOMAX 5W-40 CK-4/SN, minyak enjin sintetik penuh, pula direka untuk kenderaan yang lebih ringan seperti trak pikap, van dan trak tugas ringan bagi memastikan jangka hayat enjin yang panjang dan sihat.
Castrol berkata, minyak enjin tersebut amat sesuai untuk enjin pengecas turbo diesel dan petrol yang berprestasi tinggi kerana kenderaan ringan itu sering berdepan dengan kesesakan trafik di bandar, keadaan jalan yang teruk dan penggunaan yang kerap.
Dalam pada itu, hasil ujian prestasi enjin berbanding had standard industri yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan Castrol CRB TURBOMAX 5W-40 CK-4/SN mencatatkan keputusan 50 peratus lebih baik dari segi perlindungan terhadap geseran.
“Tahap perlindungan yang dipertingkatkan ini melindungi komponen penting enjin daripada mendapan, memastikan enjin tahan lebih lama dan sihat, sekali gus membolehkan trak anda beroperasi dengan efisien,” katanya. – UTUSAN