BCX, UEM Lestra meterai MoC

BCX, UEM Lestra meterai MoC teroka perkhidmatan lelongan tenaga

FAD’L Mohamed (kiri) dan Harman Faiz Habib Muhamad ketika sesi pertukaran Memorandum Kolaborasi (MoC) di Bursa Malaysia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bursa Carbon Exchange (BCX) menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) bersama UEM Lestra Berhad bagi merintis lelongan Kontrak Bekalan Tenaga Dua Hala (BESC) pertama di Malaysia di Bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).

Lelongan perintis ini dijangka berlangsung pada November ini dengan tarikh rasminya akan diumumkan pada Forum Pasaran Karbon Malaysia ke-3 pada 15 Oktober ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, lelongan perintis ini membuktikan komitmen bursa untuk menyokong usaha Malaysia dalam beralih kepada masa depan tenaga yang lebih lestari. 

Katanya, usaha ini selaras untuk memperluaskan penawaran perkhidmatan BCX.

“Faktor kejayaan utama bagi lelongan perintis ini adalah memastikan pengambil bekalan (offtakers) yang berwibawa melalui proses yang telus dan kompetitif. 

“Di sinilah BCX menambah nilai, dengan mengaplikasikan kepakaran lelongan kami untuk mendorong penemuan harga dan memadankan permintaan dengan penawaran. 

“Dalam menjayakan ini, kami menyokong matlamat kerajaan untuk mereformasi pasaran elektrik melalui mekanisme yang lebih terbuka dan didorong pasaran,” katanya ketika majlis menandatangani MoC di sini hari ini. 

UEM Lestra kini sedang membangunkan beberapa projek solar fotovoltaik (PV) hibrid berskala besar, termasuk projek utama berkapasiti 1 gigawatt (GW) di Segamat, Johor yang dijadual mula beroperasi pada suku pertama 2028, dengan jangkaan menjana lebih sejuta megawatt/jam (MWh) elektrik bersih setahun dan mengurangkan hampir 800,000 tan pelepasan karbon dioksida.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra, Harman Faiz Habib Muhamad berkata, lelongan ini membolehkan syarikat mencari tawaran terbaik bagi BESC secara lebih efisien.

Menurutnya, mekanisme ini juga menandakan peralihan ke arah penemuan harga yang lebih telus dalam kalangan pengambil bekalan yang berminat dan berkelayakan, selain membantu memperkemas proses perolehan dan membuat keputusan mereka.

“Platform ini membantu memperkemas proses perolehan dan membuat keputusan bagi pengambil bekalan tenaga hijau. Kami juga mengiktiraf bahawa BCX memenuhi kriteria utama kami untuk mengendalikan platform penemuan harga iaitu berwibawa, bebas dan tidak mempunyai konflik kepentingan kerana tidak bersaing dalam ruang perniagaan yang sama.

“Paling penting, mekanisme lelongan ini meletakkan UEM Lestra untuk bersaing dalam pasaran elektrik yang lebih dinamik dan terbuka, sambil kami terus menyumbang ke arah matlamat Malaysia mencapai 70 peratus kapasiti terpasang tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050,” katanya.

Lelongan perintis itu juga dijangka meningkatkan kecairan dalam BCX melalui penjelasan dan penyelesaian Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC), sebaik sahaja projek solar hibrid UEM Lestra mencapai operasi komersial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN