Alliance Bank optimis dengan unjuran pertumbuhan ekonomi

Alliance Bank optimis dengan unjuran pertumbuhan ekonomi

KELLEE Kam (tengah) bersama Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Alliance Bank, Ronnie Fernandiz (kiri) dan Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan Alliance Bank, Dr. Aaron Sum Wei Wern (kanan) selepas sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Alliance Bank, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia antara empat hingga 4.8 peratus yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) Isnin lalu masih kukuh, meskipun berdepan ketidaktentuan luaran dan dalaman, kata Alliance Bank Malaysia Berhad.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, pihaknya kekal berwaspada terhadap perubahan semasa, namun masih melihat prospek pertumbuhan yang stabil bagi ekonomi negara.

Katanya, antara cabaran semasa termasuklah tarif import Amerika Syarikat (AS) dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang memberi tekanan terhadap kos perniagaan.

“BNM telah bertindak lebih awal menerusi pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus, yang dijangka membantu merangsang pertumbuhan.

“Data pengeluaran industri dan penggunaan domestik kekal sihat, manakala ketibaan pelancong ke Malaysia kini mengatasi paras pra-pandemik. Kadar pengangguran juga berada pada paras terendah, sekali gus menyokong aktiviti penggunaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Alliance Bank, semalam.

Kellee menambah, faktor-faktor tersebut memberi ruang untuk kekal optimistik, namun pihaknya masih memantau dengan teliti segala perubahan dasar yang sedang berlaku.

Sebelum ini, BNM menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kepada antara 4.0 hingga 4.8 peratus, berbanding 4.5 hingga 5.5 peratus sebelum ini, susulan potensi risiko daripada tarif import AS dan ketidaktentuan ekonomi global.

Mengulas mengenai kesan peluasan SST dan dasar tarif terhadap operasi syarikat, Kellee berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang penilaian.

“Isu kini adalah sama ada gabungan kenaikan kos dan kemungkinan tarif itu akan menjejaskan pertumbuhan perniagaan dan kualiti aset kami.

“Rundingan tarif masih berjalan dan SST baru dilaksanakan, jadi kami belum dapat memberikan gambaran sepenuhnya.

“Namun, satu perkembangan positif adalah kami akan berpindah ke ibu pejabat baharu pada September ini, sekali gus menjimatkan kos sewaan yang ketika ini mencecah RM13 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata, Alliance Bank mengekalkan sasaran pertumbuhan pinjaman antara lapan hingga 10 peratus bagi tahun kewangan 2026, lebih konservatif berbanding 12 hingga 14 peratus yang dicatatkan dua tahun lalu.

Menurutnya, sasaran lebih berhati-hati itu mengambil kira ketidaktentuan persekitaran termasuk pelaksanaan semula SST serta peningkatan kos operasi.

“Fokus kami kekal terhadap perniagaan teras termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pasaran pertengahan dan segmen pengguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN