PETALING JAYA: Toshiba Malaysia melancarkan NaturePURE Series 820L Refrigerator, yang secara rasmi diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai peti sejuk berkapasiti terbesar di Asia Pasifik.
Pelancaran itu menandakan pencapaian penting sempena ulang tahun ke-95 jenama tersebut, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam inovasi dan teknologi perkakas rumah.
Pengarah Urusan Toshiba Malaysia, Steven Yang berkata, pihaknya mensasarkan pertumbuhan tahunan sebanyak 25 peratus bagi tahun ini berbanding 2024, dipacu oleh permintaan tinggi terhadap perkakas rumah berteknologi maju dan reka bentuk estetik.
Katanya, setiap tahun Toshiba terus mencatat pertumbuhan kukuh dengan memperluas portfolio produk yang mencerminkan keperluan serta nilai pengguna masa kini.
“Sehingga suku pertama 2025, Toshiba Malaysia mencatatkan penguasaan pasaran yang memberangsangkan dalam beberapa kategori utama, termasuk peti sejuk dengan 16.7 peratus di tempat kedua, mesin basuh dengan 13.6 peratus di tempat kedua dan ketuhar gelombang mikro pada 10.5 peratus di tempat kelima.
“Lebih RM20 juta diperuntukkan setiap tahun bagi tujuan penjenamaan dan pemasaran digital, termasuk kerjasama bersama pempengaruh media sosial serta pakar reka bentuk dalaman dan arkitek.
“Sebagai sebahagian daripada strategi perluasan pasaran, Toshiba kini mengendalikan 14 kedai jenama di seluruh negara.
“Toshiba mensasarkan pembukaan sebuah kedai perdana (flagship store) serta penubuhan 50 cawangan Shop-in-Shop (SIS) menjelang tahun 2026,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran NaturePURE Series 820L Refrigerator, di One World Hotel, di sini hari ini.
Tambahnya, di peringkat serantau, Toshiba terus mengukuhkan kedudukan pasaran di Asia Pasifik menerusi prestasi kukuh di Thailand, manakala Jepun kekal sebagai pasaran terkuat dari segi penguasaan jenama dan kesetiaan pelanggan.
“Toshiba juga bakal memperluas barisan produk berinspirasikan rekaan ‘Japandi’ iaitu gabungan seni reka Jepun dan Scandinavia yang mula diperkenalkan menerusi peti sejuk edisi 2024.
“Konsep Japandi akan dikembangkan kepada produk lain seperti mesin pencuci pinggan, penapis air dan perkakas rumah lain bagi membawa fungsi intuitif dan estetika harmoni ke kediaman moden,” katanya.
NaturePURE 820L merupakan peti sejuk empat pintu pertama di Asia Pasifik yang melebihi kapasiti 820 liter yang direka khas untuk kegunaan isi rumah pelbagai generasi, dengan ruang penyimpanan berkompartmen bagi menempatkan pelbagai barangan segar, makanan bayi dan produk beku.-UTUSAN










