Tealive yakin capai sasaran tembusi 13 negara tahun ini

Tealive yakin capai sasaran tembusi 13 negara tahun ini

BRYAN LOO (depan, tiga dari kanan) bersama Khairy Jamaluddin (empat dari kiri) dalam majlis pelancaran menu baharu Tealive dan serbuk minuman tiga dalam satu di Putrajaya di sini, semalam.-UTUSAN/FARISWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tealive meneruskan momentum pertumbuhannya di peringkat global, dengan sasaran untuk menambah kehadirannya ke 13 buah negara menjelang hujung tahun ini.

Sehingga kini, Tealive telah berjaya menembusi pasaran Filipina, Vietnam, Myanmar, Kemboja, Brunei, Mauritius, Kanada, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan bakal memasuki pasaran India serta Thailand. 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo berkata, Tealive sudah beroperasi di sembilan buah negara dan dua lagi negara akan diumumkan dalam minggu ini. 

Katanya, perkembangan pesat ini sejajar dengan strategi syarikat untuk menjenamakan Tealive bukan sahaja sebagai peneraju di Asia Tenggara, tetapi juga sebagai jenama global yang bertapak di Malaysia.

“Kami mahu jenama Tealive menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia dan pada masa sama menjadi jenama yang dikenali dan dihargai di luar negara,” katanya kepada pemberita sempena pelancaran menu baharu Tealive di sini. 

Rangkaian minuman tiga dalam satu pertama Tealive itu dilancarkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Sebanyak sembilan perisa teh, kopi dan coklat diperkenalkan iaitu Signature Milk Tea, Matcha Tea, Teh Tarik, Signature Coffee, Caramel Macchiato, Hazelnut Coffee, Signature Coco, Dark Chocolate dan Chocolate Hazelnut. 

Jelas Bryan, pek minuman tiga dalam satu Tealive dijangka menonjol dalam pasaran sengit barangan pengguna bergerak pantas (FMCG).

Beliau berkata, kekuatan jenama ini terletak pada kepercayaan pengguna, inovasi rasa, kualiti bahan dan hubungan dengan pelanggan. 

“Kami membangunkan Tealive sebagai jenama gaya hidup, bukan sekadar produk. Hubungan ini menjadi pemangkin kepada pembelian berulang dan sokongan jangka panjang. 

“Selain memberikan keselesaan dan kemudahan kepada pengguna, kami juga mahu membuktikan bahawa produk buatan Malaysia setanding dengan jenama bertaraf dunia.

“Menyokong jenama tempatan bukan sahaja satu bentuk patriotisme, malah satu pilihan bijak apabila kualitinya terbukti,” katanya. 

Bryan berkata, Tealive mampu menjadi jenama isi rumah Malaysia, dengan matlamat menjadikan produknya sebahagian daripada kehidupan harian rakyat.

“Sudah tiba masanya untuk Tealive melebarkan sayap daripada model perniagaan berasaskan kedai kepada kehadiran yang lebih menyeluruh di rumah-rumah pengguna,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×