Tarif import aluminium 50% cetus kebimbangan pemain industri

Tarif import aluminium 50% cetus kebimbangan pemain industri

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan tarif import aluminium sebanyak 50 peratus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain industri yang berpendapat langkah itu sukar diterima pengguna, sekali gus boleh menjejaskan permintaan global.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, situasi tersebut mencerminkan dasar ekonomi berunsur perlindungan (protectionist) yang semakin ketara dan dijangka terus mencorak landskap ekonomi dunia.

“Langkah yang diambil oleh Trump ini boleh mendorong negara-negara yang terkesan mencari pasaran baharu. Ia juga sudah pasti akan meningkatkan kos perniagaan serta berpotensi memberi kesan negatif kepada momentum pertumbuhan ekonomi, bukan sahaja di peringkat domestik, malah global,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, antara kebimbangan utama ialah risiko lambakan produk berkaitan besi dan aluminium di pasaran tempatan.

“Kerajaan sebelum ini telah mengenakan duti import terhadap produk besi dari negara seperti China, India, Jepun dan Korea Selatan pada 11 Mei lalu sebagai langkah kawalan.

“Justeru, Malaysia perlu terus berhati-hati terhadap ancaman lambakan barangan yang boleh menjejaskan industri dan peniaga tempatan.

“Pemain industri juga digalakkan untuk mengadakan rundingan dan memeterai perjanjian perdagangan antarabangsa bagi mewujudkan perdagangan yang lebih seimbang dan mampan,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Logam Global Novelis Inc., Derek Prichett berkata, pihaknya bimbang terhadap kemungkinan kemerosotan permintaan akibat tarif tersebut, terutama pada kadar semasa.

“Secara keseluruhan, ini menjadi cabaran besar dan operasi syarikat antara Kanada dan AS terjejas teruk akibat tarif yang dikenakan,” katanya ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Aluminium Harbor ke-17 di Chicago.

Novelis yang berpangkalan di Atlanta, Georgia merupakan pengeluar utama produk aluminium gulung rata yang digunakan dalam pelbagai sektor termasuk automotif dan aeroangkasa.

Selain itu, kebimbangan turut disuarakan pemain industri lain yang berpendapat pengeluar tidak mampu menampung kadar tarif tinggi yang telah digandakan daripada 25 peratus pada awal tahun ini kepada 50 peratus serta menjangkakan harga produk meningkat kepada pengguna di AS.

Ketua Pegawai Pemasaran Aluminium Bahrain BSC, Hisham Alkooheji menyifatkan kadar baharu itu sebagai ‘titik kritikal sebenar’ memandangkan sukar untuk memindahkan kos kepada pengguna akhir.

Langkah tarif yang sering berubah-ubah serta bersifat konfrontasi oleh pentadbiran Trump juga dikatakan meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran logam dunia.

Dalam pada itu, Trump mempertahankan langkah tersebut berkata, tarif itu perlu bagi melindungi margin keuntungan pengeluar tempatan serta menggalakkan pelaburan dalam pengeluaran domestik.

Namun, beliau mengakui AS masih banyak bergantung kepada import dalam penghasilan pelbagai produk, daripada tin minuman hinggalah kepada kenderaan dan kapal terbang.

Susulan pengumuman penggandaan tarif oleh Trump pada Jumaat lalu, kontrak berkaitan harga aluminium yang dihantar ke wilayah Midwest melonjak sebanyak 54 peratus ke paras tertinggi sejak 2013 di Comex, New York pada Isnin, dan terus didagangkan hampir pada paras itu pada Rabu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN