Sunway Sanctuary catat 50 peratus kadar penghunian

Sunway Sanctuary catat 50 peratus kadar penghunian

LEONARD Theng Boon Liang (kiri) sempena sambutan ulang tahun kedua Sunway Sanctuary baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway Healthcare Group mengumumkan bahawa kediaman warga emas, Sunway Sanctuary di Sunway City Kuala Lumpur mencatat kadar penghunian sebanyak 50 peratus bagi fasa pertama sejak dibuka tahun lalu.

Sempena sambutan ulang tahun kedua itu, Sunway Sanctuary turut memperkenalkan dua jenis bilik baharu, sebuah pusat pemulihan serta dua program kesihatan khusus pemulihan pasca-serangan jantung dan penjagaan bantuan lanjutan.

Pengurus Besar Sunway Sanctuary, Leonard Theng Boon Liang berkata, individu mempunyai keperluan keselesaan yang berbeza. 

“Dengan pilihan bilik ini, kami mampu memenuhi kehendak lebih ramai penghuni berdasarkan tahap keselesaan atau kemewahan yang mereka inginkan,” katanya ketika ditemui pemberita sempena sambutan ulang tahun kedua Sunway Sanctuary. 

Beliau turut memaklumkan, kumpulan itu sedang merancang untuk membina kediaman warga emas di Ipoh dan Johor, namun butiran lanjut masih dirahsiakan kerana berada di peringkat perancangan.

Sementara itu, Sunway Group juga dijangka melancarkan Sunway Square, sebuah hab komersial yang merangkumi elemen runcit, pejabat, pendidikan dan hiburan  pada suku ketiga tahun ini. 

Projek ini akan dihubungkan dengan komponen lain dalam pelan induk termasuk Sunway Sanctuary melalui jejantas atau laluan pejalan kaki.

Sunway Sanctuary merupakan kediaman warga emas berprestij di bawah Sunway Healthcare Group, yang menekankan penjagaan peribadi, pengalaman komuniti dan kesejahteraan menyeluruh dalam usaha menetapkan penanda aras baharu untuk penjagaan warga emas.

Fasa pertama pembangunan itu melibatkan 235 daripada keseluruhan 473 bilik untuk disewa, manakala fasa kedua akan dilancarkan pada masa akan datang. 

Sempena pelancaran fasiliti pemulihan baharu di Wellness Centre yang dilengkapi dengan teknologi mesra warga emas untuk meningkatkan mobiliti dan kebebasan. 

Fasiliti ini menampilkan mesin HUR pintar serta kalis udara yang digunakan bagi latihan kekuatan dan senaman yang meningkatkan kekuatan, keseimbangan dan mobiliti. 

Mesin-mesin ini dikawal secara digital untuk membolehkan ahli terapi mengatur secara khusus dan menyelia sesi senaman dan pemulihan. Peranti selamat boleh dilaras ini sesuai untuk sendi yang mengalami penuaan, menawarkan pergerakan impak rendah walaupun untuk mereka dengan kekuatan terhad.

Bagi meningkatkan lagi pengalaman penginapan, Sunway Sanctuary turut memperkenalkan ‘Signature Floor’, ruang gabungan keselesaan dan kemewahan yang direka khas untuk menawarkan pilihan hidup premium kepada warga emas dengan layanan mesra setiap hari.

Sunway Sanctuary terletak di tengah-tengah Sunway City Kuala Lumpur di Subang Jaya, Selangor.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN