WALAUPUN ekosistem startup atau pemula niaga Malaysia terus berkembang, akses kepada pembiayaan pertumbuhan (growth capital) kekal sebagai halangan utama bagi syarikat pemula tempatan untuk menembusi pasaran serantau dan global.
Pembiayaan di peringkat awal seperti dana pra-pembenihan dan pembenihan masih tersedia melalui agensi kerajaan seperti Cradle Fund dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Namun, apabila startup mencapai tahap Series A dan ke atas, jumlah pelaburan yang tersedia mula menyusut dengan ketara.
Pengarah, Ignite Venture Lab, Institut Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Ts. Dr. Hana Yazmeen Hapiz berkata, pembiayaan pra-pembenihan dan pembenihan agak aktif di negara ini, namun pembiayaan Series A ke atas masih kurang.
Katanya, terdapat juga kekurangan dana modal teroka (VC) tempatan yang berani mengambil risiko pada syarikat pemula yang berpotensi tinggi tapi belum untung.
Jelasnya, dana kerajaan cenderung menyokong peringkat awal tetapi jarang mengekalkan sokongan ke fasa pertumbuhan global, mendorong syarikat pemula tempatan terpaksa berpindah ke Singapura untuk akses kepada pembiayaan pertumbuhan antarabangsa.
Beliau berkata, beberapa syarikat pemula tempatan seperti Pandai terpaksa mendapatkan pelaburan luar negara kerana kekangan pembiayaan tempatan.
“Pandai, sebuah startup EdTech, memperoleh RM16 juta daripada pelabur global seperti Y Combinator dan Harvard Endowment, selepas gagal menarik minat pelabur tempatan.
“Dana institusi (LP) mengalir ke luar ekosistem VC tempatan. Khazanah kini meletakkan anggaran 40 peratus portfolionya di Amerika Syarikat (AS) dan menyasar 88 peratus di pasaran maju, sekali gus mengecilkan aliran modal pertumbuhan domestik.
“Selain itu, pelabur tempatan obses dengan keuntungan awal. Struktur ‘profit-first’ mengehadkan lonjakan skala berbanding model ‘burn-to-scale’ di Singapura atau Indonesia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hana Yazmeen berkata, cabaran utama yang dihadapi oleh syarikat pemula di Malaysia untuk berkembang menjadi unicorn adalah saiz pasaran yang kecil.
Katanya, dengan populasi sekitar 35 juta, jumlah pengguna digital aktif adalah terhad untuk menyokong pertumbuhan pantas seperti yang diperlukan oleh syarikat pemula teknologi.
Selain itu, beliau berkata, pasaran juga tidak seragam (fragmented), iaitu tngkah laku pengguna berbeza antara negeri dan wilayah, misalnya antara Kuala Lumpur, Sabah dan Kelantan.
“Startup perlu sesuaikan strategi dan produk untuk pelbagai segmen berbeza, jadi kos makin naik.
“Bagi membesarkan kepada skala yang lebih besar, mereka juga memerlukan kos yang lebih tinggi. Disebabkan variasi pasaran, syarikat pemula perlu labur lebih banyak untuk adaptasi produk dan pemasaran mengikut segmen, menyebabkan pertumbuhan lebih perlahan,” ujarnya.
Beliau berkata, kurang data terbuka untuk pembangunan inovasi juga mendorong kepada kekangan untuk syarikat pemula berkembangan di negara ini.
“Contoh kes Grab @ MyTeksi, yang berasal dari Malaysia, berpindah ke Singapura kerana pasaran di sana lebih tersusun, pelabur lebih aktif dan mudah akses pasaran serantau ASEAN.
“Grab berjaya di Singapura kerana akses pelabur global, ekosistem digital tersusun, polisi mesra syarikat pemula, pasaran serantau yang mudah dicapai, strategi global sejak awal dan kekangan pasaran serta birokrasi di Malaysia pada waktu itu,” jelasnya.










