SST 6 peratus dijangka kurangkan permintaan hartanah

SST 6 peratus dijangka kurangkan permintaan hartanah

CUKAI SST 6 peratus dijangka akan mengurangkan permintaan hartanah.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peluasan semula cukai perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus ke atas perkhidmatan pembinaan bagi projek komersial, perindustrian dan infrastruktur bermula 1 Julai ini dijangka memberi kesan langsung kepada kos pembangunan hartanah di Malaysia.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, cukai tersebut dijangka akan mengurangkan permintaan hartanah.

“Pasaran hartanah dijangka semakin lemah dan akan meningkatkan sewa rumah kerana permintaan semakin tinggi akibat tidak mampu untuk membeli rumah

“Pemindahan kenaikan kos SST kepada pengguna akan menyebabkan kuasa beli semakin rendah dan ekonomi juga akan kurang aktif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, peningkatan dalam  SST khususnya melibatkan perkhidmatan pembinaan, dijangka memberi tekanan kepada margin pemaju hartanah berbanding kontraktor.

Maybank IB dalam satu nota pada hari Rabu berkata, pemaju berkemungkinan perlu menyerap kos tambahan akibat cukai yang akan dikenakan ke atas kerja-kerja pembinaan bermula 1 Julai ini untuk projek komersial dan perindustrian. 

Katanya, kos ini mungkin akan dipindahkan kepada pembeli bagi projek-projek masa hadapan untuk mengelakkan penyusutan margin.

“Memandangkan kebanyakan kontrak mengandungi klausa semakan perubahan peraturan, pemaju dijangka menanggung SST ini dan bukannya kontraktor,” katanya. 

Menurut firma penyelidikan itu, pemaju yang terlibat dalam pembinaan pusat data, termasuk Eco World Development Group Bhd.  dan Sime Darby Property Bhd. juga mungkin akan menghadapi peningkatan perbelanjaan, sekali gus boleh mengurangkan kadar pulangan dalaman (IRR) mereka.

“Pada masa yang sama, dengan penekanan strategik untuk menjana pendapatan berulang daripada hartanah pelaburan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, seperti pusat beli-belah, SST sebanyak 8 peratus ke atas hasil sewaan akan ditanggung oleh penyewa, yang mungkin mengehadkan keupayaan pemaju untuk menaikkan kadar sewa,” katanya. 

Bagi mengelakkan penyusutan margin, pemaju dijangka akan menaikkan harga unit yang belum terjual dan projek-projek masa hadapan. 

“Namun begitu, keupayaan mereka untuk memindahkan kos pembinaan yang meningkat kepada pembeli mungkin terhad disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan permintaan pasaran yang lemah,” tambahnya.

Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor hartanah.

Kerajaan merancang untuk mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus mulai 1 Julai ke atas perkhidmatan pembinaan bagi infrastruktur, bangunan komersial dan perindustrian, jika nilai bercukai melebihi RM1.5 juta setahun.

Namun begitu, pengecualian diberikan kepada bangunan kediaman, utiliti awam berkaitan perumahan, serta kontrak yang tidak boleh disemak semula, yang akan menikmati tempoh kelonggaran selama 12 bulan daripada tarikh kuat kuasa.-UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN