Ringgit dijangka sekitar RM4.20 hingga RM4.35 minggu ini

Ringgit dijangka sekitar RM4.20 hingga RM4.35 minggu ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mata wang tempatan dijangka didagangkan sekitar RM4.20 hingga RM4.35 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini, susulan dolar AS mengalami konsolidasi minggu lalu selepas keputusan Mahkamah Rayuan negara itu mengekalkan semula tarif import besar-besarannya.

Jumaat lalu, ringgit ditutup lemah berbanding dolar AS pada 4.2470/2530 berbanding penutup dagangan Khamis pada 4.2370/2430.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pergerakan ringgit minggu ini dijangka mengikuti trend yang sama kerana dolar AS dijangka akan terus memulih, namun mata wang negara tidak akan jatuh terlalu rendah.

Katanya, ini kerana tiada sebarang perubahan yang mendadak dalam pasaran domestik termasuk Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kekal pada 3.0 peratus serta pasaran saham stabil walaupun turun sedikit pada minggu lalu.

“Kita masih menunggu tempoh 90 hari penangguhan tarif timbal balas oleh Presiden AS, Donald Trump tamat. Selepas itu, kita akan lebih yakin kepada apa yang akan berlaku kepada ringgit.

“Bagi pendapat saya, tarif timbal balas itu akan dibatalkan dan akan diletakkan pada kadar mendatar 10 peratus kepada semua negara yang terlibat. Ruang rundingan telah dibuat dengan beberapa negara dan saya tidak rasa negara lain akan mendapat kadar yang lebih baik dari itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, Rizab Persekutuan (Fed) AS juga diunjurkan untuk tidak tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah dan akan kekal pada kadar yang pada bulan ini.

“Kemungkinan mereka akan menurunkan kadar faedah dalam tempoh tiga bulan akan datang iaitu sekitar 25 mata asas,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka berlegar dalam julat yang sama iaitu RM4.22 hingga RM4.24 minggu ini.

Katanya, para pedagang akan terus berhati-hati pada minggu ini dan peserta hadapan akan terus meneliti tentang keabsahan dasar tariff AS. 

“Bulan ini, mesyuarat  Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bakal diadakan pada 16 hingga 17 Jun nanti. 

“Oleh itu, data-data ekonomi AS seperti pasaran pekerjaan dan inflasi akan dipantau, Buat masa ini, data-data AS menunjukkan prospek pertumbuhan yang lebih perlahan. 

“Namun, pihak Fed dilihat cenderung untuk mengekalkan kadar faedah disebabkan dasar tariff yang berpotensi memberi kesan inflasi yang lebih tinggi pada masa akan datang,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN