PETALING JAYA: Ringgit dijangka didagang dalam jajaran yang positif iaitu sekitar RM4.22 hingga RM4.23 pada minggu ini.
Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, hal ini berikutan jangkaan ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada kadar yang lebih lembap berikutan situasi tarif import yang bakal menaikkan kos perniagaan di AS.
“Data-data yang akan diperhatikan pada minggu hadapan adalah Indeks Harga Pengguna (IHP) dan Indeks Harga Pengeluar bagi bulan Mei.
“Kadar inflasi yang rendah dilihat akan membuka ruang bagi pihak Rizab Persekutuan (Fed) untuk menurunkan kadar faedah pada tahun ini disebabkan wujudnya tanda-tanda prospek pertumbuhan yang lebih perlahan.
“Jangkaan ini bakal menyumbang kepada prestasi ringgit yang lebih positif pada minggu hadapan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, ringgit kekal stabil sekitar paras RM4.30 berbanding dolar AS setakat ini, namun pasaran ekuiti tempatan masih menunjukkan prestasi yang kurang aktif.
Katanya, indeks FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat sempit antara 1,510 hingga 1,530 dalam masa terdekat, berikutan kekurangan pemangkin baharu dan sentimen positif di pasaran.
“Pemerhatian semasa turut menunjukkan sokongan daripada pelabur asing masih belum kukuh, meskipun terdapat usaha berterusan oleh institusi tempatan untuk menstabilkan pasaran.
“Ketidaktentuan global serta kurangnya daya tarikan dari segi insentif fiskal dijangka menjadi antara faktor yang membantutkan penyertaan aktif dana luar negara,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan langkah-langkah strategik bagi menarik semula minat pelabur antarabangsa, antaranya melalui pengurangan duti setem ke atas urus niaga besar.
“Sebagai contoh, pengurangan atau pengecualian duti setem bagi transaksi melebihi RM100,000 dalam satu urus niaga berpotensi meningkatkan volum perdagangan dan daya tarikan pasaran Malaysia di mata pelabur institusi luar.
“Langkah ini, jika dilaksanakan, bukan sahaja dapat merancakkan aktiviti dagangan, malah mampu menyokong pemulihan pasaran modal dalam jangka sederhana,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, dengan keadaan semasa ada potensi ringgit pada tahap sederhana.
Katanya, ia boleh dikaitkan dengan aspek luaran dan keadaan ringgit yang kukuh tapi pada tahap sederhana.
“Sejak Sidang Kemuncak ASEAN, sentimen pelabur kepada kita semakin baik walaupun secara berperingkat.Ini juga dilihat akan mendorong pertumbuhan global lebih seimbang,” katanya.
Beliau turut menganggarkan jangkaan ringgit sekiranya mengikut anggaran RM4.6 hingga RM4.70.
“Saya juga menjangkakan bursa dalam 1,600 didorong oleh tumpuan dalam sektor tertentu contohnya sektor kewangan dan perbankan yang agak stabil dari kadar faedah diperingkat domestik,” katanya.-UTUSAN










