KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan dalam mereformasi subsidi tenaga penting untuk memastikan peralihan tenaga yang mampan dan berlandaskan ekonomi yang kukuh, kata Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, ada implikasi jangka panjang sekiranya subsidi diteruskan kerana ia boleh memesongkan dinamik pasaran dan menghalang kemajuan sebenar dalam menangani cabaran iklim.
Beliau menyokong langkah kerajaan untuk rasionalisasi subsidi secara berhati-hati agar golongan berisiko tidak terjejas.
Selain itu, beliau menekankan keperluan mekanisme harga karbon yang lebih selaras dan telus serta menyarankan penggunaan teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) sebagai langkah mitigasi kos karbon dan cukai.
“Maka selagi isu pengagihan sumber menjadi perhatian, subsidi akan memesongkan keseimbangan penawaran dan permintaan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media pada Persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Walau bagaimanapun, Tengku Muhammad Taufik menegaskan kepentingan untuk memastikan komuniti rentan dilindungi daripada kesan negatif.
“Dari sudut pandang langkah kerajaan untuk rasionalisasi subsidi, saya semestinya akan merujuk kepada pengumuman rasmi, tetapi kami percaya kerajaan sedang meneliti pendekatan terbaik agar mereka yang paling terkesan akan menerima perlindungan sewajarnya. Inilah maksud subsidi bersasar,” katanya.
Menyentuh tentang cukai karbon dan usaha rantau ini dalam menetapkan harga pelepasan karbon, Tengku Muhammad Taufik menyentuh wujudnya persepakatan yang semakin meluas untuk pendekatan yang lebih selaras dan telus dalam mekanisme penentuan harga karbon.
“Berkenaan cukai karbon, kita lihat rantau ini sedang bergerak ke arah menetapkan harga terhadap kesan luaran.
“Saya fikir ada perbincangan tentang bagaimana untuk menyeragamkan cukai dan harga karbon.
“Apa yang menarik, antara perkara yang diketengahkan dalam perbincangan Energy Asia Global Leadership Executive Forum (EAGLE) ialah apabila kos kesan luaran ini menjadi lebih selaras, lebih telus dan lebih cair,” katanya.
Tengku Taufik turut menyatakan bahawa penyelesaian projek CCS merupakan satu daripada pendekatan praktikal untuk industri mengurangkan pelepasan karbon dan mengurus kos berkaitannya.
“Jadi, anda boleh melakukan mitigasi, yang sekali gus membuka potensi aliran pendapatan baharu seperti yang dilakukan oleh Petronas, iaitu melalui CCS.
“Anda boleh elakkan daripada membayar cukai karbon jika ada penyelesaian pengepaman karbon yang boleh dilaksanakan dan lebih murah,” katanya.
Beliau mengulangi bahawa walaupun kerajaan menumpukan usaha melindungi kebajikan rakyat, kerajaan juga tetap bertekad untuk tidak mengabaikan krisis iklim yang semakin mendesak.
“Tetapi pada akhirnya, kita dapat lihat bahawa kerajaan Malaysia, sama seperti negara-negara serantau lain, amat menyedari kesan perubahan iklim.
Dalam masa yang sama menjaga kebajikan masyarakat, kerajaan juga tidak boleh mengetepikan krisis sebenar yang sedang kita hadapi sebagai sebuah planet,” katanya.-UTUSAN










