PETALING JAYA: Proton dan Grab Malaysia terus memperkukuh komitmen terhadap komuniti e- hailing menerusi peluasan kerjasama strategik dengan memperkenalkan lebih banyak pilihan model Proton, termasuk Proton S70 dan barisan model premium X-Series.
Langkah ini turut menawarkan kelebihan eksklusif yang ditambah baik untuk menyokong keperluan rakan pemandu Grab yang terus menjana pendapatan menerusi platform e-hailing tersebut.
Kerjasama ini dibina atas kejayaan kempen ‘Saga Power Up for Grab Driver-Partners’ yang dilancarkan pada November 2024.
Timbalan Pengarah Jualan, Proton EDAR, Ong Chee Wooi berkata, kerjasama yang diperkukuh bersama Grab Malaysia ini merupakan satu langkah penting dalam mengukuhkan sektor e-hailing.
“Proton berbesar hati dapat menawarkan model S70 dan siri premium X kepada rakan-pemandu Grab.
“Bagi pekerja gig, program komprehensif ini bukan sahaja menyediakan kelebihan eksklusif tetapi juga jaminan dari segi kebolehpercayaan dan kos penyelenggaraan yang mampu milik, faktor penting bagi mereka yang menggunakan kenderaan sebagai alat utama dalam mencari rezeki,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti, Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, pihaknya berbesar hati dapat memperkukuh kerjasama bersama Proton, yang mencerminkan komitmen berterusan kami dalam memberi peluang fleksibel kepada rakyat Malaysia.
“Inisiatif ini telah memudahkan rakan-pemandu kami mendapatkan kenderaan, sekali gus membolehkan mereka menjana pendapatan dan menyara keluarga sambil memenuhi permintaan penumpang yang semakin meningkat.
“Dengan peluasan kerjasama ini merangkumi model S70 dan siri premium X, rakan pemandu kini berpeluang meningkatkan pengalaman pemanduan mereka, menaik taraf kenderaan dan memenuhi keperluan pelanggan yang lebih pelbagai.
“Kami berharap dapat terus melangkah bersama dalam usaha membina masa depan yang lebih inklusif dan penuh peluang untuk semua,” katanya.
Setakat ini, kempen tersebut menjana sebanyak 220 petunjuk jualan dan mencatatkan 148 pendaftaran kenderaan bagi model Proton Saga.
Kerjasama yang diteruskan disebabkan permintaan kukuh terhadap model-model Proton dalam segmen e-hailing serta memperkukuh matlamat bersama untuk memodenkan perkhidmatan ride-hailing di Malaysia melalui penawaran kereta yang mampu milik dan boleh dipercayai.
Kini, rakan-pemandu Grab boleh memilih daripada model Proton yang lebih meluas, termasuk model di bawah kategori GrabCar Plus dan GrabCar (enam tempat duduk).
Selain peluasan pilihan model, kerjasama ini turut menawarkan insentif menarik seperti rebat tunai sehingga RM13,000, diskaun servis sebanyak lima peratus untuk dua tahun pertama atau sehingga 40,000 kilometer serta sokongan minyak petrol bernilai RM500 bagi meringankan kos operasi pada peringkat awal pemilikan.
Bagi merasmikan peluasan kerjasama ini, satu majlis menandatangani perjanjian telah diadakan baru-baru ini di ibu pejabat Proton Centre of Excellence.
Perjanjian tersebut ditandatangani antara Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton EDAR, Zhang Qiang dan Rashid Shukor.-UTUSAN










