Petronas giat persiap Malaysia dalam pasaran LNG global

Petronas giat persiap Malaysia peranan lebih besar dalam pasaran LNG global

ENGKU Muhammad Taufik Tengku Aziz pada Persidangan Energy Asia 2025 di KLCC, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petronas giat mempersiapkan Malaysia untuk memainkan peranan lebih besar dalam pasaran gas asli cecair (LNG) global, selari dengan lonjakan permintaan tenaga bersih terutamanya di rantau Asia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, kumpulan melihat LNG sebagai kunci utama dalam peralihan tenaga bersih dan mampan, terutama sekali bagi negara-negara membangun yang sedang menggantikan arang batu dengan bahan api yang lebih bersih.

“Malaysia mempunyai kelebihan geo-strategik dan infrastruktur LNG yang matang. Petronas mahu menjadikan negara ini sebagai hab LNG utama untuk Asia Timur dan Tenggara,” katanya semasa sesi Leadership Dialogue (kepimpinan Asia dalam peralihan tenaga) di Persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.

Jelasnya, antara langkah yang diambil oleh Petronas termasuk, pelaburan dalam projek LNG terapung (floating LNG) yang membolehkan penghantaran lebih fleksibel dan pantas.

“Perkembangan operasi LNG di luar negara seperti di Kanada, yang memberi akses terus ke pasaran Asia Timur.

“Penekanan terhadap pengurangan pelepasan karbon, termasuk melalui penggunaan teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) dan pengurusan metana,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa permintaan LNG akan terus meningkat sejajar dengan pertumbuhan perindustrian dan penggunaan AI di Asia.

“Kami mahu memastikan Malaysia bukan sahaja pembekal tenaga yang boleh dipercayai, tetapi juga pemimpin dalam penyelesaian tenaga bersih,” katanya. 

Dengan langkah strategik ini, Petronas meletakkan Malaysia dalam kedudukan bersedia untuk menjadi mod penting dalam rantaian bekalan LNG global, menyokong pembangunan ekonomi domestik serta menyumbang kepada usaha dekarbonisasi serantau.

Sementara itu, Petronas menegaskan aset gas asli mereka di Kanada, khususnya di Utara British Columbia adalah antara sumber paling penting dalam portfolio global syarikat itu bukan sahaja dari segi jumlah, tetapi juga dari aspek kecekapan karbon.

“Saya tahu beberapa media telah membuat spekulasi sama ada kami akan mengubah pendirian kami secara menyeluruh (mengenai isu ini). Saya menafikan dan menyangkal berita ini,” katanya. 

Katanya, sumber gas di Kanada dianggarkan sebanyak 53 trilion kaki padu (TCF) dan dikategorikan sebagai antara pengeluaran karbon paling rendah dalam keseluruhan operasi Petronas. 

“Gas itu akan digunakan untuk menyokong projek gas asli cecair (LNG) yang menjanjikan laluan eksport terus dan tanpa gangguan ke Asia Timur.

“Kedudukannya sangat strategik seperti projek LNG di Amerika Syarikat (AS) dengan laluan pelayaran pendek dan terus ke Asia tanpa risiko sekatan geo-strategik,” katanya. 

Tengku Muhammad Taufik berkata, ini memberi peluang besar untuk menggantikan arang batu dalam sistem tenaga rantau ini.

Petronas kini berada di fasa akhir untuk menghantar kargo LNG pertama dari projek LNG Kanada dengan penghantaran dijangka berlaku dalam beberapa minggu akan datang. 

Beliau turut memberi bayangan bahawa lebih banyak aktiviti LNG akan berlaku di Pantai Barat Kanada, terutama di bawah kerajaan baharu di Kanada yang dijangka lebih terbuka kepada kerjasama tenaga bersih.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN