Perbelanjaan pelancong domestik melonjak 22.1 peratus

Perbelanjaan pelancong domestik melonjak 22.1 peratus suku pertama 2025

RAKYAT tempatan dan pelancong asing di Pasar Seni, Kuala Lumpur.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbelanjaan pelancongan domestik bagi suku pertama 2025 meningkat 22.1 peratus tahun ke tahun kepada RM29.4 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ia berdasarkan Survei Pelancongan Domestik Malaysia (Dts) 2024 dan Buletin Survei Pelancongan Domestik Malaysia (Dts), Suku Tahun Pertama 2025.

DOSM berkata, bilangan pelawat domestik turut mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 18.9 peratus kepada 69.7 juta bagi tempoh berkenaan berbanding suku yang sama tahun lalu.

“Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, jumlah pelawat domestik naik 4.3 peratus berbanding suku keempat 2024. Dari segi pelancong domestik sahaja, jumlahnya melonjak 37.6 peratus kepada 25.2 juta bagi suku pertama 2025.

“Sepanjang 2024, sektor pelancongan domestik terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan jumlah perbelanjaan pelawat domestik mencecah RM106.7 bilion, meningkat 25.6 peratus daripada RM84.9 bilion pada 2023.

“Pertumbuhan itu disokong peningkatan perbelanjaan oleh pelancong dan pelawat harian, masing-masing berkembang 20.6 peratus dan 33.8 peratus,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut survei itu, pelancong kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah perbelanjaan pelancongan domestik dengan 59 peratus, meskipun sedikit menurun berbanding 61.5 peratus pada tahun sebelumnya.

“Purata tempoh penginapan pula meningkat sederhana kepada 2.49 malam pada 2024 berbanding 2.45 malam pada 2023, menunjukkan kecenderungan rakyat Malaysia melancong lebih lama dalam negara,” katanya. 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah pelawat domestik pada 2024 meningkat 21.7 peratus kepada 260.1 juta berbanding 213.7 juta pada 2023.

“Peningkatan aktiviti pelancongan domestik pada suku pertama ini didorong faktor bermusim seperti sambutan Tahun Baharu Cina, bulan Ramadan, persiapan Hari Raya Aidilfitri serta cuti sekolah yang menggalakkan pergerakan dan perbelanjaan pelancongan,” ujarnya. 

Mengikut pecahan negeri, beliau berkata, Selangor kekal sebagai destinasi paling popular dengan 34.5 juta pelawat domestik, diikuti Kuala Lumpur (27 juta) dan Perak (21.8 juta).

“Perak turut merekodkan peningkatan ketibaan pelancong sebanyak 36.1 peratus kepada 10.2 juta pada 2024 berbanding 7.5 juta pada 2023.

“Secara keseluruhan, sektor pelancongan domestik terus mencatat pertumbuhan kukuh, disokong bilangan pelawat yang semakin bertambah, perbelanjaan lebih tinggi serta perubahan corak perjalanan rakyat Malaysia.

“Meskipun tujuan utama masih untuk melawat keluarga dan saudara-mara, trend pelancongan berasaskan rekreasi, program dan pengalaman menunjukkan minat pasaran yang semakin pelbagai dan dinamik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN