Pasaran saham tempatan dijangka terus berada dalam mod berhati-hati - Utusan Malaysia

Pasaran saham tempatan dijangka terus berada dalam mod berhati-hati

tarif
BURSA Malaysia dijangka terus didagangkan dalam mod berhati-hati dalam tempoh terdekat ini.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketidaktentuan politik dan faktor luaran menjejaskan sentimen pelabur di Bursa Malaysia walaupun minat terhadap saham berharga rendah menyokong pemulihan indeks penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) minggu lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran saham tempatan dijangka terus berada dalam mod berhati-hati dalam tempoh terdekat berikutan sentimen yang terkesan oleh faktor luaran serta isu berkaitan kepimpinan dan dasar dalam negara.

Katanya, kestabilan politik dan kejelasan dasar kerajaan kekal menjadi elemen penting dalam membentuk keyakinan pelabur, khususnya bagi pelaksanaan dasar-dasar berorientasikan reformasi.

“Adalah penting bagi kepimpinan sedia ada untuk terus mengemudi dasar secara konsisten dan bijaksana agar keyakinan pasaran dapat dikekalkan, terutamanya dalam persekitaran global yang mencabar ketika ini.

“Ketegangan geopolitik serta potensi kejutan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) juga dilihat menjadi antara penyumbang utama kepada pergerakan tidak menentu harga saham di peringkat global, termasuk di Bursa Malaysia.

“Selain itu, unjuran ekonomi global yang lebih pesimis oleh beberapa badan utama seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) turut menambah tekanan terhadap sentimen pelabur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, beliau berkata, keputusan kewangan suku pertama 2025 yang diumumkan oleh syarikat tersenarai di Bursa Malaysia juga dilihat tidak memberangsangkan dan selari dengan prestasi lemah syarikat luar negara.

“Susulan itu, pelabur dijangka kekal berhati-hati dengan tumpuan terhadap faktor asas syarikat dan perkembangan semasa yang boleh mempengaruhi arah pasaran dalam jangka pendek,” ujarnya.

FBM KLCI sebelum ini mengalami penyusutan selama tiga minggu berturut-turut sehingga mencecah paras terendah pada 1,497.42 mata Selasa minggu lalu sebelum pulih semula berikutan aktiviti belian saham murah dalam sektor terpilih.

Dalam tempoh itu, saham seperti YTL Corp, YTL Power, Petronas Dagangan, Sime Darby dan Gamuda mencatatkan peningkatan dan membantu mengimbangi penyusutan yang dicatatkan oleh Petronas Chemicals dan PPB Group.

Sementara itu, TA Securities berkata, walaupun indeks utama berjaya melonjak 8.44 mata atau 0.56 peratus kepada 1,516.79, persekitaran politik yang tidak menentu termasuk spekulasi rombakan Kabinet dan pergolakan dalaman parti dilihat menjadi penghalang utama kepada pemulihan pasaran yang lebih mapan.

“Langkah Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz itu juga mencetuskan spekulasi rombakan Kabinet semakin hampir, memandangkan tempoh dua penggal beliau sebagai senator akan berakhir Disember ini dan tidak boleh disambung semula,” katanya.

Firma itu berkata, ketidaktentuan ini mencetuskan rasa tidak yakin dalam kalangan pelabur yang kini mengambil pendekatan berhati-hati, terutamanya dalam membuat keputusan pelaburan jangka pendek.

Menurutnya, suasana bertambah rumit apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semakin hampir dengan pembubaran automatik Dewan Undangan Negeri ke-16 dijangka berlaku pada 11 November ini.

“Keretakan hubungan antara UMNO Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang kini menolak sebarang kerjasama pilihan raya, turut menimbulkan persoalan terhadap kemampuan kerajaan negeri mempertahankan kedudukannya.

“Kelemahan dalam kestabilan politik domestik menjadi faktor utama yang membataskan kebangkitan kukuh FBM KLCI walaupun pada masa sama, penilaian pasaran saham dilihat masih berada pada paras menarik,” ujarnya.

Indeks utama kini diniagakan pada unjuran nisbah harga kepada pendapatan (PER) tahun kewangan 2026 sebanyak 12.8 kali, iaitu 1.3 sisihan piawai di bawah purata jangka panjang 16 kali, sekali gus menunjukkan potensi pemulihan jika ketidaktentuan dapat dikurangkan.

Bagaimanapun, firma itu memberi amaran sebarang lonjakan pasaran tempatan dijangka bersifat sederhana selagi tiada kepastian politik di peringkat domestik dan dasar ekonomi kerajaan yang konsisten untuk menyokong pertumbuhan jangka sederhana.

Meskipun begitu, minat dagangan keseluruhan kekal lemah dengan purata volum harian turun kepada 2.46 bilion saham berbanding 2.96 bilion minggu sebelumnya, manakala nilai dagangan harian purata turut susut kepada RM2.05 bilion daripada RM2.56 bilion.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN