KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan Demi Mengangkat Martabat Rakyat’ bakal menumpukan kepada tiga dasar utama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata yang pertama adalah tatakelola baik menjadi paksi kepada pentadbiran negara dalam memastikan kekayaan negara diagihkan secara adil dan saksama serta mengambil kira keperluan rakyat.
Katanya, Kerajaan Madani akan meneruskan usaha untuk memperkukuh integriti dan akauntabiliti, mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memantapkan pengurusan fiskal.
“Kedua, meningkatkan kerencaman ekonomi secara menyeluruh kepada penciptaan nilai dalam semua sektor ekonomi.
Peralihan ini bermatlamat untuk memperkukuh kedudukan ekonomi negara, umpama menaikkan siling atau bumbung. Tunjang utama peralihan ini adalah pendigitalan dan teknologi termaju terutama kecerdasan buatan (AI),” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelas Anwar, penekanan akan diberikan kepada pembangunan industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) dan sektor strategik yang bernilai tinggi, pertumbuhan yang terangkum, mampan dan seimbang, serta pengukuhan kedudukan Malaysia di persada ekonomi dunia.
“Justeru, budaya mencipta menjadi agenda terpenting dalam melonjakkan penghasilan produk dan perkhidmatan tempatan yang berdaya saing,” katanya.
Perdana Menteri berkata, fokus ketiga RMK13 adalah pembangunan yang terangkum dan responsif dengan keutamaan untuk meningkatkan darjat kehidupan rakyat.
Katanya, usaha akan dipergiat untuk membantu rakyat menangani beban kos sara hidup, membentuk sistem sosial negara berteraskan insan Madani, mempertingkatkan mutu kehidupan serta memperkukuh tahap sosioekonomi golongan sasar ke arah mencapai kehidupan wajar.
“Rencana ini bukanlah sekadar retorik, sebaliknya Kerajaan telah menetapkan sasaran keberhasilan yang boleh diukur melalui angka-angka ekonomi, untuk memandu dan memantau gerak kerja yang akan dilaksanakan,” katanya.-UTUSAN










