Negeri Sembilan bangunkan hab bioteknologi di Bandar Enstek

Negeri Sembilan bangunkan hab bioteknologi di Bandar Enstek

AMINUDDIN Harun (lima dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef (tiga dari kiri), Pengerusi MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat (empat dari kiri) dan Pengerusi Kumpulan MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahamd (lima dari kiri) semasa Sesi Bicara Tengah Hari MIDF: ‘Negeri Sembilan: Sempadan Pintar Baharu’ di Menara MBSB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Sembilan komited membangunkan hab bioteknologi di Bandar Enstek yang meliputi keluasan 161.87 hektar, sekali gus terus menarik minat pelabur asing dalam sektor berkenaan apabila beberapa syarikat dari China menyatakan kesediaan untuk melabur di kawasan itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu hasil daripada lawatan dan perbincangan delegasi Malaysia ke China, yang turut melibatkan syarikat terkenal seperti United Imaging, pengeluar mesin Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) dan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang juga pesaing utama Siemens.

“Projek ini turut melibatkan kerjasama dengan Lembaga Tabung Haji yang  menyediakan tapak dan Bandar Enstek telah dikenal pasti sebagai tapak sesuai untuk pembangunan hab bioteknologi itu,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Bicara Tengah Hari MIDF: “Negeri Sembilan: Sempadan Pintar Baharu”, di sini semalam. 

Menurut beliau, pembangunan kawasan itu akan diberi keutamaan memandangkan pelabur memerlukan tapak yang tersedia segera bagi tujuan pemindahan atau pengembangan operasi industri mereka.

“China menunjukkan komitmen jangka panjang untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai kluster bioteknologi dan ia bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia, malah kepada negara-negara sedang membangun yang memerlukan inovasi dalam bidang ini. 

“Kawasan itu akan dilengkapi kemudahan menyeluruh dan berupaya muncul sebagai pusat pembangunan teknologi bertaraf dunia.

“Kami yakin inisiatif ini dapat dipercepatkan dan bakal memberi impak signifikan kepada negara serta rakan serantau,” ujarnya.

Katanya, kerja tanah dijangka bermula tahun ini selepas proses penilaian wajar diselesaikan, manakala perjanjian kerjasama rasmi telah ditandatangani dengan syarikat berkaitan.

Mengulas mengenai Pelabuhan Kontena Al di Parcel E, Pasir Panjang, Port Dickson, beliau berkata, projek berkenaan telah menerima kelulusan di peringkat Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Rundingan akhir kini sedang dijalankan bagi memperoleh tanah tambahan seluas 242.81 hektar, menjadikan jumlah keseluruhan kawasan pembangunan mencecah 647.49 hektar.

“Memandangkan kesesakan operasi di Pelabuhan Klang, Port Dickson dilihat sebagai lokasi strategik untuk dijadikan hab pelabuhan baharu,” katanya.

Tambahnya, sebaik sahaja urusan dimuktamadkan, kerajaan negeri akan memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk mewartakan kawasan tersebut sebagai zon perdagangan bebas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN