MBSB Bank, iFAST Malaysia lancar produk unit amanah

MBSB Bank, iFAST Malaysia lancar produk unit amanah

KETUA Pegawai Eksekutif MBSB Group, Rafe Haneef (kiri) bertukar dokumen dengan Dennis Tan sempena kerjasama antara MBSB Bank dan iFAST Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) melancarkan unit amanah menerusi kerjasama strategik bersama iFAST Capital Sdn Bhd (iFAST Malaysia), menandakan langkah penting dalam usaha memperluas penawaran pengurusan kekayaannya dan menjadikan pelaburan lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia.

Berteraskan janji ‘Pelaburan Mampu Milik, Peluang Tanpa Had’, penyelesaian pelaburan ini membolehkan individu memulakan pelaburan serendah RM100 dengan akses kepada 30 dana terpilih. 

Ketua Perbankan Pengguna Kumpulan, MBSB Bank,Usman Ghouse berkata, usaha ini memberi peluang kepada pelanggan untuk mempelbagaikan simpanan, melindungi nilai terhadap inflasi dan membina kekayaan jangka panjang.

“Kerjasama kami dengan iFAST mencerminkan komitmen terhadap keterangkuman kewangan, dan menyokong agenda FLIGHT26 kami untuk berkembang sebagai institusi berteraskan nilai yang memperkasakan kehidupan seharian.

“Kerjasama strategik ini turut memperkukuh keupayaan MBSB Bank untuk mengembangkan penawaran pelaburannya secara cekap dan teratur, hasil kepakaran teknikal, pengalaman pelaburan dan infrastruktur pengedaran iFAST Malaysia.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelan hala tuju pengurusan kekayaan MBSB Bank yang lebih menyeluruh dengan pelbagai lagi produk pelaburan dijangka diperkenalkan dalam bulan-bulan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif iFAST Malaysia, Dennis Tan berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja bakal mengubah cara rakyat Malaysia melihat, malah mengakses peluang pelaburan dalam negara. 

“Bersama MBSB Bank, kami menjadikan pelaburan lebih mudah difahami dan lebih inklusif,” katanya.

Bersempena pelancaran ini, MBSB Bank akan melancarkan kempen Jom Invest Bersama bermula 1 Julai 2025, dengan tawaran kadar caj jualan istimewa serendah 1.68 peratus sempena sambutan kemerdekaan negara ke-68 bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memulakan langkah pertama dalam perjalanan pelaburan mereka. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mbsbbank.com atau kunjungi cawangan MBSB Bank yang terdekat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN