Mukadimah
PEMAKANAN sihat sering dilihat sebagai sesuatu yang mahal, sukar didapati dan kurang menyelerakan namun jenama Salad Atelier (SA) muncul dengan misi untuk mengubah persepsi itu.
Bermula dengan satu cawangan, kini Salad Atelier mempunyai 35 cawangan di seluruh negara, dengan empat lagi dalam perancangan.
Dalam wawancara bersama Wartawan Utusan Malaysia, SABRINA ZULKIFLI, pengasas SA, DYLAN LEE, berkongsi perjalanan penubuhan syarikat ini, strategi kekal relevan dan visi masa depannya dalam menjadikan makanan sihat lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia.
UTUSAN: SA sinonim dengan hidangan sihat yang segar dan seimbang. Boleh kongsikan bagaimana jenama ini bermula dan apa yang menginspirasikan penubuhannya?
DYLAN: SA ditubuhkan dengan misi untuk menjadikan pemakanan sihat lebih mudah diakses dan dinikmati oleh semua.
Saya nampak permintaan yang semakin meningkat terhadap alternatif makanan segera yang lebih sihat, tanpa mengorbankan rasa atau kemudahan.
Sebagai seseorang yang menjalani gaya hidup bandar yang sibuk, saya sendiri sukar mencari pilihan makanan segera yang benar-benar menyihatkan.
Dari situ, lahirlah idea untuk menyediakan hidangan yang segar, berkhasiat dan sesuai dengan rutin harian rakyat Malaysia.
Sejak kami bermula, SA telah berkembang pesat dengan 35 cawangan beroperasi dan empat lagi akan dibuka di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.
Setiap cawangan kami direka untuk memberi pengalaman yang mudah dan mesra, agar sesiapa pun boleh menikmati makanan sihat tanpa kesulitan.
Bagaimana Salad Atelier mengekalkan komitmen dalam menyediakan makanan sihat pada harga mampu milik untuk rakyat Malaysia?
Kami percaya makan sihat tak semestinya mahal.
Di SA, kami pastikan bahan-bahan segar dan berkualiti tinggi diperoleh secara pukal dan bekerjasama rapat dengan pembekal tempatan.
Strategi ini membolehkan kami kawal kos dengan lebih baik dan menyalurkan penjimatan itu terus kepada pelanggan.
Selain itu, kami juga sentiasa menambah baik operasi supaya lebih cekap dari dapur ke kaunter.
Matlamat kami ialah memastikan pemakanan sihat boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat, bukan hanya golongan tertentu.
Dalam usaha menawarkan makanan yang menyihatkan, adakah SA turut menyesuaikan menu dengan cita rasa tempatan?
Sudah tentu! Kami percaya makanan sihat tak semestinya asing dengan selera rakyat Malaysia.
Satu daripada contoh paling jelas ialah nasi lemak versi SA. Kami tukar ayam goreng kepada ayam bakar, gunakan minyak lebih sihat dan kurangkan penggunaan santan.
Kami juga ada hidangan seperti Korean Bibimbap Bowl yang mengekalkan rasa pedas dan umami, tetapi dalam bentuk yang lebih seimbang dari segi nutrisi.
Kami sentiasa mencuba resipi baharu untuk pastikan menu kami bukan saja sihat, tetapi juga lazat dan dekat dengan hati pelanggan tempatan.
Apakah strategi Salad Atelier untuk terus relevan dalam industri makanan sihat di Malaysia?
Kami tumpu kepada tiga perkara utama iaitu inovasi, penglibatan pelanggan dan pembinaan komuniti.
Setiap musim kami perkenalkan menu baharu dan adakan promosi khas untuk kekalkan kesegaran pengalaman pelanggan.
Kami juga aktif berinteraksi di media sosial, dengar maklum balas pelanggan dan sesuaikan tawaran mengikut kehendak semasa.
Selain itu, kami lihat diri kami bukan sekadar restoran, tetapi sebagai platform yang mendidik masyarakat tentang gaya hidup sihat.
Kami mahu jadi jenama yang menyokong kesihatan tubuh dan minda secara menyeluruh.
Apa yang membezakan SA daripada jenama makanan sihat lain di pasaran?
Kami bukan hanya jual salad tetapi dengan DIY Series, pelanggan boleh pilih sendiri bahan dan sos mengikut keperluan pemakanan mereka dan itu ialah satu fleksibiliti yang jarang ditawarkan oleh jenama lain.
Selain salad, kami juga ada pasta, nasi, dan hidangan tempatan yang disediakan menggunakan bahan-bahan berkualiti tinggi.
Kami juga mengamalkan prinsip ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus).
Antara inisiatif kami ialah menggunakan pembekal tempatan untuk kurangkan jejak karbon dan melaksanakan program Zero Wastage.
Contohnya, kakitangan kami dilatih dengan standard prosedur operasi (SOP) ketat dalam cara memotong, menyimpan dan mengendalikan bahan untuk elak pembaziran.
Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi juga menyumbang kepada kelestarian jangka panjang.
Apakah harapan dan perancangan masa depan SA dalam memperluas akses kepada makanan sihat untuk rakyat Malaysia?
Kami mahu terus memperluas cawangan ke negeri yang belum kami terokai, seperti Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
Kami juga akan terus mencari peluang kerjasama dengan pihak lain yang turut memperjuangkan gaya hidup sihat.
Akhirnya, kami ingin menjadi jenama yang dipercayai rakyat Malaysia bukan sekadar restoran, tetapi rakan dalam perjalanan mereka ke arah kehidupan yang lebih sihat dan seimbang.-UTUSAN










