KUALA LUMPUR: Ketegangan geopolitik sejak beberapa tahun ini terus memberi kesan ketara terhadap kos operasi dan kestabilan pasaran global khususnya kepada industri strategik seperti industri petrokimia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Group Berhad, Mazuin Ismail berkata, keadaan geoekonomi seperti sekatan perdagangan, dasar perlindungan teknologi dan ketidakseimbangan kuasa ekonomi juga dilihat semakin mengekang penyebaran teknologi dan inovasi di peringkat antarabangsa.
“Kesan berganda ini bukan sahaja memberi tekanan kepada rantaian bekalan global, malah turut menjejaskan keupayaan industri termasuk sektor petrokimia untuk melaksanakan transformasi mampan dan berdaya saing.
“Kita tetap perlu berkhidmat kepada komuniti, sama ada dalam keadaan pasaran menaik (upcycle) atau menurun (downcycle), sama ada kita berdepan dengan dasar dan jangkaan yang sentiasa berubah atau apa jua cabaran yang timbul,” katanya dalam Forum mengenai ‘Masa Depan Industri Petrokimia di Asia’ di Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cabaran lebihan bekalan dalam industri kimia dan petrokimia memberi tekanan kepada margin dan daya saing syarikat-syarikat petrokimia.
Dalam menghadapi cabaran tersebut, Mazuin menekankan pendekatan bersepadu adalah amat penting.
“Semua perkara ini perlu kita tangani, bukan secara bersendirian, tetapi sebagai satu industri petrokimia yang bersatu,” katanya.
Petronas Chemicals Group kini dilihat terus memperkukuhkan daya tahan operasi serta melabur dalam teknologi dan inovasi sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk menghadapi ketidaktentuan pasaran dan peralihan global ke arah ekonomi rendah karbon.
Mazuin berkata, pusat pertumbuhan dunia adalah di Asia dan berada tepat di tengah-tengahnya.
“Keupayaan kita untuk kekal dekat dengan pelanggan adalah aset strategik dalam memastikan kesinambungan nilai sepanjang rantaian industri,” tambahnya.
Forum tersebut dipengerusikan oleh Presiden Bersama, S&P Global Commodity Insights, Mark Eramo dan panel terlibat adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Taiyo Oil, Takahiro Yanamoto, Naib Presiden Zhink Group, Xiao Zhonghuai serta Pengerusi dan Pengarah Urusan Engineers India Limited, Vartika Shukla.-UTUSAN










