KEBELAKANGAN ini persaingan dalam pemasangan panel solar terutama untuk kediaman sangat sengit. Selain insentif daripada kerajaan, pelbagai promosi menarik ditawarkan oleh penyedia sistem solar rumah ini termasuk menawarkan harga lebih rendah.
Harga rendah memang akan menguntungkan pengguna, tetapi pada masa perlu diingat apakah produk yang dibekal menepati standard keselamatan yang ditetapkan.
Pemasangan dan operasi panel solar melibatkan banyak pertimbangan keselamatan.
Seperti bahaya elektrik, risiko kemalangan seperti jatuh dari ketinggian dan potensi kebakaran.
Menurut Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir. Guntor Tobeng, protokol keselamatan sangat penting bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
“Contohnya. kes-kes kemalangan maut ketika pemasangan solar di Malaysia terutama yang melibatkan warga asing disebabkan mereka tidak patuh kepada peraturan keselamatan. Ambil risiko hingga kehilangan nyawa.
“Sebab itu pemilik-pemilik yang mahu memasang solar perlu peka dengan aspek keselamatan dan kena mainkan peranan supaya pembekal mereka peka tentang pematuhan aspek keselamatan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fakulti Kejuruteraan dan Elektrik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, dengan industri tenaga solar Malaysia makin berkembang, cabaran utama adalah menguruskan aspek keselamatan.
Katanya, sebab itu diwujudkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) Pindaan 2022 dan Peraturan Reka Bentuk dan Pengurusan (CDM) 2024, yang dikuatkuasakan di bawah OSHA 1994, bagi memastikan pengurusan risiko dilakukan secara proaktif oleh semua pihak terbabit.
“Ia memastikan bahaya ditangani sebelum pembinaan atau kerja-kerja bermula. Peraturan ini memastikan pelanggan, pereka bentuk, kontraktor dan kontraktor utama bertanggungjawab untuk mengekalkan piawaian keselamatan sepanjang kitaran hayat projek solar.
“Walaupun prinsip CDM menetapkan langkah keselamatan yang luas, ketiadaan Kod Amalan Industri (ICOP) untuk tenaga solar meninggalkan jurang dalam industri – amalan terbaik khusus.
“ICOP solar yang berdedikasi akan memperkenalkan garis panduan yang jelas untuk pengasingan elektrik, piawaian kecekapan untuk pembekal perkhidmatan PV solar, dan protokol tindak balas kecemasan, menyediakan langkah keselamatan yang konsisten untuk semua pihak berkepentingan,” katanya.
Gading Kencana yang berpengalaman kira-kira 30 tahun dalam industri tenaga solar dan mengendalikan empat ladang solar di seluruh negara menyenaraikan langkah keselamatan utama yang biasanya diikuti semasa pemasangan solar.
Ini boleh dijadikan panduan oleh para pemilik premis dalam memastikan pihak yang terbabit dalam pemasangan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Keselamatan Elektrik
- Nyah tenaga litar sebelum memulakan sebarang kerja.
- Gunakan alat bertebat dan pakai sarung tangan getah semasa mengendalikan wayar hidup.
- Ikuti prosedur
- Pastikan semua pendawaian mematuhi Kod Elektrik Kebangsaan (NEC) atau piawaian tempatan.
- Pasang pembumian dan ikatan yang betul untuk mengelakkan kejutan elektrik.
Elak kemalangan
- Gunakan sistem pelindung yang betul (contoh, abah-abah, sauh, lanyard).
- Pasang pagar atau jaring keselamatan di atas bumbung.
- Menjalankan penilaian keadaan bumbung sebelum memulakan kerja.
- Gunakan tangga dengan betul (sudut yang betul, tapak yang selamat).
Peralatan pelindung diri
- Topi keledar: Melindungi daripada kecederaan kepala.
- Cermin mata keselamatan: Untuk perlindungan mata.
- Sarung tangan: Perlindungan elektrik dan mekanikal.
- Kasut keselamatan: Penting untuk kerja atas bumbung.
- Pakaian terang, mudah dilihat: Terutamanya dalam pemasangan komersial atau tepi jalan.
Faktor persekitaran
- Jadualkan kerja semasa cuaca yang sesuai untuk mengelakkan haba melampau atau permukaan licin akibat hujan.
- Kekal terhidrat dan berehat untuk mengelakkan keletihan haba.
- Pantau pendedahan UV; gunakan pelindung matahari dan pakaian pelindung.
Penilaian tapak dan latihan
- Menjalankan penilaian risiko tapak sebelum pemasangan.
- Latih semua pekerja tentang protokol keselamatan dan tindak balas kecemasan.
- Simpan peti pertolongan cemas dan maklumat hubungan kecemasan di tapak.
- Pastikan langkah-langkah keselamatan kebakaran disediakan (contohnya, alat pemadam api, jalan keluar yang jelas).
Pematuhan dan Dokumentasi
- Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) atau garis panduan kawal selia tempatan.
- Mengekalkan permit dan pemeriksaan terkini.
- Log semua pemeriksaan keselamatan dan insiden.-UTUSAN










