CUAK? Ya, risau pula pada mulanya apabila diberitahu yang saya akan memandu uji sebuah trak pikap jenama JAC.
Mana tidaknya, saya sendiri memiliki kenderaan jenis ini yang berasal dari Amerika Syarikat. Radius memusing yang memakan jarak luas kadangkala membuatkan pemanduan harian saya sedikit sukar terutama di dalam bandar.
Ketika mula-mula pandu dahulu, tidak sampai sejam keluar dari bilik pameran, tayar depan sudah ‘sangkut’ pada bampar kereta orang sewaktu mahu letak kenderaan secara mengundur! Itu belum lagi calar-balar akibat bergesel dengan dinding bangunan di laluan sempit.
Bagaimanapun, berbeza sekali keadaannya apabila saya memandu keluar model T9 ini dari bilik pameran JAC di Petaling Jaya. Dibantu kamera definisi tinggi (HD) pandang sekeliling 360 darjah, mengundur memasuki jalan besar, membelok kiri-kanan, tiada rasa teragak-agak.
Hati kecil saya berbisik, ini macam pandu kenderaan utiliti sukan (SUV), bukannya trak pikap! Dengan panjang 5,330 milimeter (mm), lebar 1,965 mm dan tinggi 1,920 mm, saya ibaratkan ia ‘comel’ untuk sebuah trak pikap.
Saya rasa penuh yakin walaupun tidak sampai seminit pegang stereng dan tatkala memasuki ibu kota di mana orang ramai berpusu-pusu keluar pejabat untuk makan tengah hari.
Gear Pertukaran Elektronik Pintar senang dikendalikan dengan empat mod pemanduan iaitu Normal (standard); Eco untuk penjimatan bahan api; Sport bagi pemanduan agresif, manakala Snow ketika mahu menggunakan laluan luar jalan raya (off road).
Dalam keadaan kenderaan bergerak-gerak perlahan-lahan, saya ambil peluang mengerling skirn sentuh untuk menukar frekuensi stesen radio. Bip! Bip! Bip!
Bunyi amaran tiba-tiba bergema. Serentak itu keluar perkataan: Sila fokus pada pemanduan.
Selepas itu, saya menguji beberapa kali dengan menjeling ke arah lain, bukan depan. Sama juga keputusannya, bunyi amaran kedengaran.
Ini adalah antara ciri-ciri canggih terdapat pada T9, iaitu Sistem Pemantauan Pemandu (DMS). Sistem ini memberi amaran sekiranya pemandu hilang fokus akibat mengantuk atau tidak memberi perhatian penuh pada jalan raya.
DMS mampu mencegah kemalangan jalan raya. Jadi, mereka yang pandu T9, berilah perhatian sepenuhnya pada jalan raya kalau tidak mahu kena ‘marah’!
Selain DMS, ciri-ciri Sistem Bantuan Pemanduan Cangggih (ADAS) L2 pada T9 adalah Brek Kecemasan Automatik (AEB), Bantuan Luncur Bersepadu (ICA), Bantuan Mengekal Lorong (LKA), Pengesan Titik Buta (BSD) dan Kawalan Lampu Tinggi Pintar (IHBC). T9 merupakan satu-satunya trak pikap di negara ini yang mencapai penarafan lima bintang bagi ujian keselamatan Program Penilaian Kereta Baharu Australasia (ANCAP).
Bagi yang tidak mengenali jenama buatan China ini, JAC Motors membangunkan industri kenderaan perdagangan ringan sejak 55 tahun lalu. Pengalaman matang ini membolehkan JAC Motors meningkatkan kualiti dan prestasi hingga menjadikan mereka sebagai pengeksport utama China bagi trak pikap pada tahun lepas.
Saya berkesempatan ‘panjat’ Genting Highlands dengan T9. Dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo diesel, ia meluncur lancar mendaki ketinggian kira-kira 1,865 meter.
Saya hanya gunakan mod Normal. Terasa trak pikap ini amat berkuasa. Tiada masalah untuk naik cerun dengan kuasa enjin yang menjana 125 kilowatt (kW) dan 410 Newton meter (Nm) dari 1,500 hingga 2,500 rpm.
Digandingkan dengan transmisi automatik ZF 8-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda belakang. Nama pun pacuan empat roda (4WD), sempatlah saya pandu di laluan berbatu di puncak Genting Highlands.
Dengan jarak kelegaan tanah 210 mm, sudut pendekatan 27 darjah dan sudut berlepas 23 darjah, penyerap hentak memberikan tindak balas berkesan untuk pemanduan di permukaan off-road. Kedalaman meredah air pula 800 mm.
Turun dari Genting Highlands saya masih gunakan mod Normal. Pertukaran dari gear tinggi ke rendah pun lancar selain memberikan cengkaman yang selamat. Saya hanya perlu kawal stereng dan pedal brek.
Di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, saya pecut dengan mod Sport sambil melayan selekoh-selekoh pada kelajuan tinggi. Stabil, bunyi enjin saya sifatkan masih senyap. Ruang dalamannya terhindar daripada gangguan bunyi, getaran dan kekasaran.
Dari Karak, saya pulang ke Lembah Klang menggunakan jalan lama melalui Simpang Pelangai ke Kuala Klawang hingga Batu 14 Hulu Langat. Laluan sempit sejauh kira-kira 150 kilometer (km) ini mempunyai ratusan selekoh tajam dan pendek.
Laluan ini sememangnya agak sunyi, kurang kenderaan. Namun, sesekali kelancaran memandu terganggu kerana ada lori dengan muatan berat.
Di sini terserlah keupayaan T9 sebagai sebuah kenderaan lasak. Tiada istilah ragu-ragu kerana saya dapati enjinnya cukup berkuasa dengan tindak balas kawalan yang stabil.
Nak memotong lori di laluan lurus yang terhad jaraknya pun penuh yakin. Tekan sahaja pedal minyak dan fokus pada arah depan.
Saya memandu T9 sejauh kira-kira 420 km di pelbagai keadaan jalan – dalam bandar besar, tanah tinggi, lebuh raya, selekoh pendek dan tajam serta sedikit laluan lasak. Saya puas dan seronok memandu trak pikap ini.
Kalau tanya saya untuk kegunaan apa sesuai T9 ini – perniagaan, kereta keluarga atau kegunaan harian? Bagi saya, ketiga-tiganya boleh dan sesuai.
Nak dijadikan kenderaan untuk perniagaan, ia mudah dikendalikan di tengah-tengah kesibukan bandar berikutan saiznya yang sederhana termasuk untuk tujuan penghantaran barangan. Dimensi kotak kargo belakang dengan panjang 1,520 mm, lebar 1,590 mm dan tinggi 470 mm sudah cukup besar untuk memuatkan barangan am serta barangan keperluan harian.
Kalau nak dijadikan kereta keluarga pula, juga sesuai sangat. Nampak mewah dari beberapa sudut luaran dan dalaman.
Dari depan nampak mewah dan garang. Kalau tiada perkataan JAC di bahagian atas gril depan, silap-silap orang ingat ini trak pikap buatan Amerika atau Eropah!
Bahagian dalaman diliputi bahan lembut dan kulit yang mencetuskan ruang kabin yang dinamik dan elegan. Ada 64 jenis warna sekitar yang mengikut rentak dan irama muzik.
Selain itu, ada pelbagai ciri menarik bagi memudahkan pemanduan seperti sistem pengecasan tanpa wayar 50W, USB, USB-C dan soket 220V; perehat lengan dengan sistem pendingin untuk menyimpan makanan dan minuman; skrin sentuh 10.4 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.
Jika nak dibuat kenderaan harian ulang-alik kerja pun bukan halangan kerana saiznya yang sederhana memudahkan pemanduan dalam apa jua keadaan dan lokasi. Ada mod Eco untuk penjimatan minyak terutama ketika dalam kesesakan jalan raya.
T9 ditawarkan pada harga bermula RM119,888 (Semenanjung Malaysia) tidak termasuk insurans dengan lima warna pilihan iaitu merah, hitam, kelabu, perak dan putih. Juga lapan tahun jaminan enjin tanpa had perbatuan untuk pemilik pertama selain lima tahun jaminan pengilang tanpa had perbatuan.
Bagi saya, pada harga ini tidak perlu banyak penambahan aksesori utama. Macam-macam sudah siap dipasang antaranya bar gulung yang menyerlahkan gaya sporty, juga penyerap hentak hidraulik untuk penutup panel belakang.
Nah, tidak perlu lagi ragu-ragu untuk memiliki T9. Hanya tunggu dipandu keluar dari bilik pameran dan terus bawa pulang! – UTUSAN










