Indian Motorcycle kembali dengan harga mampu milik

Indian Motorcycle kembali dengan harga mampu milik

LAI Wai Keat bersama model Scout Bobber yang ditawarkan pada harga RM89,000 sempena majlis pelancaran Indian Motorcycle Malaysia di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama motosikal pertama dari Amerika Syarikat (AS), Indian Motorcycle kembali dilancarkan di negara ini di bawah pengedar tunggal dan eksklusif baharu, Spirit Lake Motor Sdn. Bhd.

Lebih menarik lagi, harga yang ditawarkan untuk beberapa model ikonik adalah di bawah RM100,000.

Pengurus Jenama Indian Motorcycle Malaysia, Lai Wai Keat berkata, harga istimewa tersebut adalah untuk model-model sedia ada dalam pasaran, manakala harga bagi model-model seterusnya yang bakal dilancarkan pada tahun ini adalah lebih tinggi.

“Kami menerima maklum balas daripada pasaran dan pelanggan bahawa harga yang ditawarkan ini adalah mampu milik, iaitu bawah RM100,000. Harga istimewa ini adalah khas untuk model-model sedia ada yang dibuat pada 2023.

“Untuk model baharu akan datang, harga berlainan sedikit iaitu lebih tinggi. Indian Motorcycle ini bila kita tempah, baru mereka hasilkan, bukan dikeluarkan dalam jumlah besar. Jadi, tempoh sampai di negara ini dari AS agak lama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran Indian Motorcycle Malaysia di sini.

Antara model-model mampu milik yang ditawarkan adalah Scout Bobber berharga RM88,000, Scout Rogue (RM89,000), Scout Classic (RM98,000) dan Scout Bobber Twenty (RM99,000).

Kumpulan Naza sebelum ini merupakan pengedar tunggal Indian Motorcycle di Malaysia dan Singapura.

Wai Keat menambah, pihaknya menyasarkan jumlah jualan kira-kira 40 unit bagi tahun ini.

Katanya, kesemua model didatangkan dengan jaminan selama dua tahun tanpa had perbatuan.

Beliau memberitahu, bagi memberi keyakinan kepada para pelanggan dan peminat India Motorcycle, pihaknya melabur kira-kira RM1 juta untuk bilik pameran utama yang merupakan pusat jualan, perkhidmatan dan alat ganti (3S) di Lembah Klang.

Ujarnya, pusat 3S itu akan dibuka pada penghujung tahun ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN