KUALA LUMPUR: Syarikat penyelesaian pembiayaan teknologi, ICT Zone Asia Bhd muncul di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 20 sen sesaham, kekal dengan harga tawaran awam permulaannya (IPO).
Saham itu didagangkan antara 19 sen dan 21 sen dalam 20 minit pertama dagangan.
Pada pukul 9.25 pagi, ICT Zone didagangkan pada 20.5 sen selepas lebih 22 juta saham bertukar tangan.
Syarikat berjaya mengumpul RM26.6 juta yang akan diperuntukkan untuk pembelian aset bagi perniagaan pembiayaan teknologi (RM21 juta), serta jualan dan pemasaran (RM1.5 juta) dan RM4.1 juta bagi menampung perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Tommy Lim Kok Kwang berkata, pemindahan dari pasaran LEAP ke ACE merupakan satu lagi pencapaian penting untuk syarikat.
“Kami menantikan langkah seterusnya untuk terus maju dengan menyasarkan RM500 juta dalam tempahan belum dibilkan dalam tempoh tiga tahun, menambah kepada buku tempahan belum dibilkan semasa sebanyak RM261.2 juta.
“Pegangan pasaran kami dalam sektor kerajaan, melalui rakan strategik kami, sebenarnya hanya sekitar 10 peratus sahaja. Dengan hasil baharu ini, kami menyasarkan untuk meningkatkan pegangan pasaran kepada 20 peratus dalam sektor kerajaan.
“Selain itu, kami juga telah mula mengembangkan lagi sektor korporat, sebab itulah kami memperuntukkan kira-kira RM1.5 juta untuk pemasaran dan penjenamaan bagi membolehkan kami menembusi sektor korporat dengan lebih berkesan,” katanya semasa sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini.
Mengulas lanjut, Tommy berkata, syarikat turut melihat pengembangan positif dalam segmen simpanan dalam talian (cloud).
“Hampir tiga tahun, kami juga telah berkembang ke dalam segmen (cloud) dengan memperoleh 58 peratus pegangan dalam cloudified.asia.
“Ini sememangnya merupakan satu lagi tiang vertikal yang kami ingin terus kembangkan dalam penawaran penyelesaian pembiayaan teknologi,” katanya.-UTUSAN