Hartanah Kenyalang mula mendatar di Pasaran ACE - Utusan Malaysia

Hartanah Kenyalang mula mendatar di Pasaran ACE

SEAH Boon Tiat (lima dari kanan) bersama barisan pengurusan kanan Hartanah Kenyalang semasa gimik pukulan gong semasa pelancaran syarikat itu di Pasaran ACE, di Bursa Malaysia, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pembinaan bangunan dan infrastruktur, Hartanah Kenyalang Berhad (Hartanah Kenyalang) membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) dengan harga pembukaan 16 sen, kekal tidak berubah daripada harga terbitannya.

Saham syarikat tersebut kekal mendatar pada 16 sen dengan sebanyak 14.27 juta unit saham diniagakan setakat pukul 9 pagi.

Melalui tawaran awam permulaan (IPO), syarikat berjaya mengumpul dana sebanyak RM19.3 juta yang akan digunakan antaranya untuk pembelian mesin baru serta perkakasan dan perisian IT.

Selain itu, sebanyak RM10.5 juta (54.2 peratus) diperuntukkan bagi modal kerja projek, RM2.10 juta (10.9 peratus) untuk pembayaran balik pinjaman bank dan RM3.8 juta (19.4 peratus) untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Urusan Hartanah Kenyalang, Seah Boon Tiat berkata, kumpulan itu akan menggunakan kira-kira RM3 juta daripada hasil IPO untuk membeli enam jengkaut baharu bagi meningkatkan kapasiti dan produktiviti.

Menurutnya, Hartanah Kenyalang turut merancang mengembangkan perkhidmatan dengan menawarkan reka bentuk dan bina untuk segmen pembinaan bangunan dan infrastruktur melalui pelaburan dalam sistem Permodelan Maklumat Bangunan (BIM).

“Di bawah Belanjawan Negeri Sarawak 2025, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM1 bilion khusus untuk pembinaan pelbagai jalan dan jambatan bagi mempertingkatkan infrastruktur darat serta jaringan di Sarawak.

“Seiring dengan prospek pertumbuhan kukuh sektor pembinaan di Sarawak, kami telah mengemukakan tender untuk pelbagai projek pembinaan bangunan dan infrastruktur dengan nilai kontrak keseluruhan berjumlah RM451 juta setakat 30 April 2025.

“Salah satu projek infrastruktur yang ditender oleh Hartanah Kenyalang adalah pembinaan jambatan menggunakan kaedah reka bentuk dan bina,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penggunaan kaedah reka bentuk dan bina dengan menggabungkan BIM ke dalam operasi akan membantu Hartanah Kenyalang meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai industri pembinaan serta daya saing secara keseluruhan.

Katanya, kerajaan negeri Sarawak kini sedang giat melaksanakan projek air sejajar Pelan Induk Pembekalan Air Sarawak dan Sistem Grid Air Sarawak bagi memastikan bekalan air yang mampan dan berterusan di seluruh negeri.

“Sejak 2018, kerajaan negeri memperuntukkan RM4.6 bilion untuk projek air, melibatkan 407 inisiatif di bawah pelan induk air serta sistem grid air yang bertujuan memenuhi permintaan air bersih yang semakin meningkat di seluruh Sarawak.

“Antara bidang yang boleh disertai Hartanah Kenyalang di bawah inisiatif pelan induk air adalah penggantian dan pemasangan paip air baru di negeri ini.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan dana besar untuk menggantikan dan menaik taraf 2,740 kilometer paip air lama dalam tempoh lima tahun akan datang. Kini, projek penggantian dan pemasangan paip sedang dijalankan secara aktif di seluruh Sarawak,” ujarnya.

Beliau menambah, liputan bekalan air keseluruhan di Sarawak kini berada pada 85.4 peratus, manakala kawasan luar bandar mencatatkan 70.5 peratus.

“Pada 2024, sebanyak RM247 juta diperuntukkan untuk inisiatif ini. Namun, pelaksanaan yang bermula pada penghujung tahun lalu menyebabkan projek dilanjutkan ke tahun 2025.

“Untuk 2025, RM204 juta tambahan telah diluluskan, menjadikan jumlah bajet melebihi RM450 juta untuk pelaksanaan tahun ini.

“Perkembangan positif ini membuka peluang bagi Hartanah Kenyalang untuk mengembangkan portfolio perniagaan dan mengemukakan tender bagi kerja-kerja berkaitan air daripada kerajaan negeri pada masa depan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN