PETALING JAYA: Sebarang gangguan kepada pergerakan di Selat Hormuz boleh mendorong lonjakan baharu dalam harga minyak, mendorong inflasi merentas ekonomi global, kata CIMB Securities Sdn. Bhd.
Penganalisisnya, Nurzulaikha Azali berkata, ini susulan tindakan Parlimen Iran yang mengundi untuk menutup Selat Hormuz, laluan laut paling strategik untuk perdagangan minyak global.
Katanya, sekiranya langkah ini digubal, ia akan meningkatkan risiko geopolitik dengan ketara di rantau Asia Barat dengan potensi kesan kepada rantaian bekalan minyak global.
“Bekalan minyak global kini diunjurkan berkembang sebanyak 1.5 peratus kepada 104.35 juta tong (bbl) sehari pada 2025, berdasarkan anggaran Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) Amerika Syarikat (AS).
“Selat Hormuz memudahkan transit kira-kira 20 peratus penggunaan minyak global, menekankan kepentingan strategiknya.
“Asia amat terdedah dengan China, India, Jepun dan Korea Selatan menjadi destinasi utama minyak mentah yang bergerak melalui Selat Hormuz ke Asia, secara kolektif menyumbang 69 peratus daripada jumlah minyak mentah dan kondensat yang diangkut melalui selat itu pada 2024,” katanya dalam nota penyelidikan.
Beliau berkata, sekiranya cadangan penutupan Selat Hormuz menjadi kenyataan, premium risiko boleh melonjak, berpotensi mendorong harga Brent melebihi AS$100 (RM428) setong.
Nurzulaikha juga mengunjurkan harga jangka pendek minyak mentah Brent sebanyak AS$85 (RM) setong, disokong oleh risiko dari segi bekalan.
“Berdasarkan sejarah, analisis kami menunjukkan bahawa gangguan bekalan sebanyak 500,000 bbl/hari boleh mengakibatkan kenaikan harga kira-kira AS$10 (RM42.87) setong.
“Sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas Iran pada 2011 hingga 2012 menyebabkan kehilangan bekalan sebanyak 1.4 juta bbl/hari, mengakibatkan kenaikan harga minyak mentah sebanyak AS$30 (RM128.61) setong dalam tempoh tersebut.
“Bagaimanapun, pasaran minyak global semasa lebih baik dikawal oleh kapasiti simpanan yang ada,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun negara pengeluar minyak (OPEC+) mempunyai kapasiti simpanan, kebanyakannya juga bergantung pada Selat Hormuz untuk mengeksport bekalan mereka, sekali gus meletakkan dunia dalam keadaan amat berisiko jika krisis ini tidak dapat diselesaikan melalui diplomasi.-UTUSAN










