PETALING JAYA: Enproserve Group Berhad (Enproserve) menandatangani perjanjian taja jamin bersama KAF Investment Bank Berhad bagi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE, Bursa Malaysia.
Menerusi perjanjian itu, KAF Investment Bank akan menjamin sebanyak 70.82 juta saham baharu yang ditawarkan kepada orang awam serta kumpulan layak yang dikenal pasti.
Enproserve mempunyai kepakaran dalam bidang Penyelenggaraan Loji dan Penutupan Terancang (PMT), Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC), serta penyewaan peralatan angkat berat dan kenderaan, khususnya bagi sektor hiliran minyak dan gas serta petrokimia, selain turut terlibat dalam sektor huluan dan pertengahan.
Pengarah Urusan Kumpulan Enproserve, Azman Yusof berkata, langkah ke arah penyenaraian itu merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan strategik kumpulan dalam meningkatkan keupayaan operasi serta merebut peluang pertumbuhan dalam industri.
“Perjanjian jaminan ini membawa kami setapak lagi ke arah penyenaraian di Bursa Malaysia.
“Kami kini antara penyedia perkhidmatan kejuruteraan terbesar dalam industri O&G dan petrokimia di Malaysia. Model perniagaan kami juga terbukti tahan terhadap turun naik harga minyak mentah serta kesan tarif luar negara.
“Dana yang diperoleh kelak akan digunakan untuk pembelian mesin, peralatan dan kenderaan baharu bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan.
Secara keseluruhan, IPO penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan awam untuk industri minyak dan gas (O&G) serta petrokimia itu melibatkan terbitan awam sebanyak 210 juta saham baharu, selain tawaran jualan 105 juta saham sedia ada.
Daripada jumlah saham baharu itu, sebanyak 139.18 juta saham diperuntukkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian, manakala 52.5 juta saham ditawarkan kepada orang awam di Malaysia melalui pengundian.
Sementara itu, sebanyak 18.32 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Enproserve.
Kesemua 105 juta saham sedia ada dalam tawaran jualan turut diperuntukkan kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KAF Investment Bank, Rohaizad Ismail berkata, pihaknya berbesar hati dapat menyokong Enproserve dalam langkah strategik ke pasaran modal.
“Enproserve dipimpin oleh pasukan pengurusan berpengalaman dengan rekod prestasi cemerlang dalam industri ini.
“Kami berbangga menyokong usaha mereka untuk melonjak ke tahap lebih tinggi melalui penyenaraian ini,” katanya.
Selain itu, hasil penyenaraian IPO itu akan digunakan bagi perbelanjaan modal untuk memperkukuh kapasiti dan keupayaan kumpulan dalam segmen PMT, EPCC serta perkhidmatan penyewaan.
Sebahagian lagi akan diperuntukkan kepada modal kerja, bayaran balik pinjaman serta menampung kos penyenaraian.
Enproserve menyasarkan penyenaraiannya di Pasaran ACE dapat diselesaikan pada suku ketiga 2025 yang tertakluk kepada kelulusan, manakala KAF Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi penyenaraian tersebut.-UTUSAN