PETALING JAYA: Rangkaian kedai serbaneka Korea, emart24, menyasarkan 115 cawangan menjelang hujung tahun ini, sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan jenama itu di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif emart24 Holdings Sdn Bhd, Vuitton Pang berkata, pencapaian tersebut adalah bukti sokongan dan kepercayaan berterusan pelanggan tempatan terhadap jenama berkenaan.
Katanya, pembukaan cawangan ke-100 di Kota Damansara baru-baru ini menandakan satu lagi kejayaan besar sejak emart24 mula bertapak di Malaysia pada 2021.
“Perjalanan kami bermula dengan satu cawangan di Bangsar South pada 2021 dan kini emart24 berada di pelbagai lokasi di seluruh negara,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan cawangan ke-100 emart24 di sini, semalam.
Menurut Pang, pengembangan seterusnya akan memberi tumpuan kepada kawasan Pantai Timur dan Selatan Semenanjung Malaysia, termasuk Johor yang ketika ini hanya mempunyai satu cawangan iaitu di Muar.
“Buat masa ini, kami hanya fokus di Semenanjung. Sambutan di lokasi-lokasi luar Lembah Klang amat memberangsangkan, khususnya di kawasan yang baru kami terokai.
“Kami juga sedang meluaskan ke selatan dan dalam masa sama, pelanggan kini sangat berhati-hati dalam perbelanjaan mereka. Justeru, kami komited untuk menawarkan lebih banyak promosi dan produk yang mampu milik,” ujarnya.
Makanan seperti cupbap, cheesy tteokbokki dan rangkaian produk e-kafé terus menjadi pilihan pelanggan dengan semua produk itu menerima pensijilan halal pada Februari lalu.
Mengulas lanjut, Vuitton berkata, emart24 kini sedang membina pusat pemprosesan makanan utama yang lebih besar bagi memperluaskan lagi pilihan makanan halal sedia dimakan.
“Majlis perasmian cawangan ke-100 bertemakan ‘100 Stores. Endless Moments’ diadakan di Kota Damansara dan menampilkan mural khas hasil karya artis tempatan, Nas Suha, yang menggambarkan jalinan budaya Malaysia dan Korea.
“Cawangan ini turut dilengkapi teknologi digital terkini daripada SOLUM ESL termasuk sistem paparan harga masa nyata dan papan digital interaktif bagi mempertingkat pengalaman pelanggan,” katanya.
Mengulas kemungkinan cabaran akibat ketidaktentuan geopolitik global, Vuitton berkata, gangguan tersebut tidak memberi kesan besar kepada operasi emart24 di Malaysia memandangkan kebanyakan produk diperoleh daripada pembekal tempatan.
“Kami memang jenama Korea, tetapi majoriti produk di pasaran Malaysia ini datang dari pembekal tempatan. Jadi, gangguan global tidak terlalu menjejaskan rantaian bekalan kami,” jelasnya.-UTUSAN










