BNM laksana Program QRI, galak aliran dana dua hala tukaran asing

BNM laksana Program QRI, galak aliran dana dua hala tukaran asing

Bank Negara Malaysia (BNM) mempertingkatkan daya saing pasaran kewangan Malaysia di samping menarik lebih ramai pelabur untuk melabur dalam negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelaksanaan penuh Program Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan (Qualified Resident Investor, QRI) berkuat kuasa 1 Julai 2025 sebagai langkah menggalakkan aliran dana dua hala dalam pasaran pertukaran asing tempatan.

Langkah itu dilihat sebagai usaha BNM mempertingkatkan daya saing pasaran kewangan Malaysia di samping menarik lebih ramai pelabur untuk melabur dalam negara. 

BNM berkata, pelaksanaan itu merupakan lanjutan daripada kejayaan program rintis QRI yang diperkenalkan pada April 2024.

“Sejak mula dilaksanakan, program QRI telah berjaya menjana aliran masuk dana lebih AS$1 bilion (RM4.7 bilion) daripada syarikat peserta ke dalam pasaran kewangan domestik,” katanya dalam kenyataan. 

Bank pusat itu berkata, program tersebut memberikan fleksibiliti kepada pelabur pemastautin yang layak untuk melaksanakan aktiviti pelaburan langsung luar negeri pada masa akan datang tanpa perlu mendapatkan kelulusan tambahan terlebih dahulu daripada BNM.

Pelabur hanya perlu melengkapkan pendaftaran sekali sahaja dengan BNM untuk mendapatkan fleksibiliti QRI.

Bagaimanapun, untuk menikmati fleksibiliti tersebut, pelabur pemastautin perlu terlebih dahulu membawa balik dan menukarkan perolehan dana mata wang asing yang menepati syarat kepada ringgit setelah berjaya mendaftar dengan BNM.

Menurut BNM, antara kriteria pelabur pemastautin yang berkelayakan termasuk syarikat pemastautin yang membawa balik dan menukarkan dana perolehan mata wang asing hasil daripada pelaburan luar negeri kepada ringgit.

Selain itu, syarikat berkenaan juga perlu menunjukkan amalan tadbir urus korporat yang baik serta pematuhan kepada dasar pertukaran asing BNM.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN