KUALA LUMPUR: Platform teknologi kewangan (fintech) tempatan, BayaPay melancarkan BayaFleet yang direka khusus untuk menangani isu penipuan bahan api yang kian membimbangkan di Malaysia, dianggarkan bernilai RM3.6 bilion setahun.
Penyelesaian pengurusan pembayaran dan perbelanjaan fleet serba lengkap ini menyasarkan pengendali fleet daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta institusi kewangan yang berdepan cabaran penipuan dan ketirisan dalam transaksi bahan api.
BayaFleet membolehkan pemantauan masa nyata, kawalan perbelanjaan setiap kenderaan dan notifikasi transaksi, sekali gus meningkatkan ketelusan dan kecekapan operasi fleet.
Pengasas dan Ketua Pegawai Operasi BayaPay, KK Low berkata, pelancaran BayaFleet adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk menangani krisis penipuan bahan api yang semakin membimbangkan industri.
Katanya, penyelesaian ini juga memberi kemudahan pembayaran tanpa tunai kepada pemandu dan diterima di semua peniaga yang menyokong rangkaian Visa atau MasterCard.
“Misi kami adalah untuk membantu perniagaan mengurus pembayaran dan perbelanjaan fleet dengan lebih selamat, dan kami percaya BayaFleet adalah pemangkin ke arah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut statistik 2023, jumlah penggunaan bahan api di Malaysia mencecah RM56 bilion, dengan RM36 bilion daripadanya datang daripada penggunaan komersial.
Kajian dalaman BayaPay menganggarkan industri kehilangan RM3.6 bilion akibat penipuan bahan api, ketirisan dan pengurusan yang tidak efisien dalam tempoh sama.
Sementara itu, kajian oleh Shell menunjukkan 70 peratus pemandu mengakui penipuan bahan api berlaku dalam kalangan mereka, manakala 50 peratus melihat kecurian sebagai norma.
Daripada sudut pengurusan, 80 peratus pengurus fleet menyifatkan penipuan bahan api sebagai antara cabaran terbesar yang menjejaskan operasi logistik harian.
KK Low berkata, sistem pengurusan secara manual yang masih diamalkan banyak syarikat tidak lagi relevan kerana tiada ketelusan transaksi serta mudah berlaku kesilapan atau penyalahgunaan.
“Keperluan inovasi dalam kawalan transaksi bahan api adalah bagi memastikan daya saing dan kecekapan dalam pengurusan logistik tempatan.
“BayaFleet menawarkan paparan papan pemuka digital untuk pengurusan perbelanjaan menyeluruh yang memudahkan pemilik syarikat membuat keputusan operasi berasaskan data masa nyata.
“BayaPay turut menekankan kelebihan aspek skalabiliti, membolehkan syarikat berkembang tanpa perlu menambah beban operasi manual,” ujarnya.-UTUSAN










