KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dijadual berlangsung Oktober ini bakal menyaksikan pelancaran pelan hala tuju baharu bagi menggantikan Pelan Tindakan Cebu.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pelan berkenaan akan menetapkan keutamaan proses Menteri Kewangan APEC bagi tempoh lima tahun akan datang, iaitu dari 2025 hingga 2030.
“Pelan ini akan mengenal pasti inisiatif dan hasil jangka sederhana yang perlu dicapai untuk merealisasikan Wawasan Putrajaya APEC ke arah membentuk komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman.
“Ia juga akan merangkumi usaha menyokong pertumbuhan mampan di rantau ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Asia Tenggara ABAC-ASEAN BAC-APFF 2025, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, negara-negara anggota ASEAN perlu untuk terus bekerjasama rapat dalam kerangka APEC bagi memastikan keutamaan rantau Asia Tenggara dapat disepadukan dengan hala tuju baharu tersebut.
“Ini bagi memastikan setiap inisiatif yang digariskan adalah saling melengkapi dan konsisten antara satu sama lain.
“Malaysia kekal komited memainkan peranan aktif termasuk melalui kerjasama erat dengan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dalam mendukung integrasi kewangan dan pembangunan serantau,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, Malaysia turut menantikan hasil dan cadangan daripada Persidangan Membiayai Keutamaan Pembangunan Asia Tenggara yang berlangsung hari ini.
“Selain itu, kita berharap dapat menjayakan dialog meja bulat tahunan antara Menteri-Menteri Kewangan APEC dan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) yang akan diadakan di Incheon, Korea Selatan pada Oktober nanti,” katanya.
Persidangan hari ini turut menyokong beberapa daripada 12 inisiatif strategik ASEAN-BAC bagi 2025, antaranya Inisiatif Pasaran Modal Swasta ASEAN, Prospektus IPO ASEAN, Kerangka Karbon Bersama ASEAN (ACCF) dan Kolaboratif Advokasi Pelaporan Kemampanan ASEAN.
Acara berkenaan turut menampilkan sesi panel yang disertai pakar dari institusi kewangan serantau, organisasi pembangunan, badan pengawal selia dan syarikat teknologi, yang bersama-sama menyumbang ke arah matlamat membiayai pembangunan mampan ASEAN.
Ia juga meneruskan momentum daripada pembentangan pelan tindakan 12 inisiatif ASEAN-BAC kepada para pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Mei lalu.
Sementara itu, Pengerusi ASEAN-BAC, Tan Sri Nazir Razak berkata, perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN kekal rendah berbanding jumlah keseluruhan perdagangan dan pelaburan global.
“Apabila saya menyentuh soal kekurangan pelaksanaan di ASEAN, ia bukan sahaja melibatkan organisasi serantau atau kerajaan, tetapi juga sektor swasta yang masih belum menunjukkan prestasi memberangsangkan.
“Adakah kita benar-benar menjalin kerjasama dan perjanjian yang sepatutnya dalam aspek perkongsian, penggabungan dan pengambilalihan (M\&A), rantaian bekalan serta perdagangan? Saya rasa tidak.
“Kebangkitan syarikat-syarikat serantau ASEAN yang berlaku pada akhir 2000-an kini semakin perlahan. Jadi, adakah kita telah memanfaatkan sepenuhnya potensi untuk menarik pelabur ke ASEAN?.
“Sebab itulah persidangan ini, yang bertemakan “Membiayai Keutamaan Pembangunan Asia Tenggara: Mengenal Pasti Hasil Jangka Sederhana bagi Kerjasama Awam-Swasta”, amat penting,” katanya.
Tambahnya, acara ini direka untuk menghimpunkan pemimpin, pelabur dan pembuat dasar bagi membincangkan bidang keutamaan di mana kerjasama awam-swasta boleh menghasilkan impak sebenar yang boleh diukur.
“ASEAN perlu memperdalam dan menghubungkan pasaran modalnya bagi membuka potensi simpanan domestik, menarik modal global serta memacu inovasi,” katanya.- UTUSAN