KUALA LUMPUR: ALAA Consultancy Sdn. Bhd. memeterai memorandum perjanjian (MoA) bersama MGM Health & Wellness bagi memperkenalkan pusat kesihatan regeneratif Zen Wellness di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif ALAA Consultancy, Husna Nashim berkata, kerjasama itu memberi penekanan kepada pembangunan pelancongan perubatan di Malaysia.
“Fokus utama kami dalam kerjasama ini adalah pelancongan perubatan dan ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
“Setakat ini, belum ada contoh pelaksanaan pelancongan perubatan yang menggabungkan aspek kesihatan dan kesejahteraan secara menyeluruh di negara ini.
“Justeru, kami mendekati MGM untuk membawa kepakaran dan model yang telah mereka jayakan di Aswan, Mesir, agar dapat diterapkan di Malaysia,” katanya semasa sidang media selepas majlis MoA antara ALAA Consultancy dan MGM Health & Wellness di sini, hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MGM Health & Wellness, Mohamed Mohey berkata, pihaknya berbangga dengan pembangunan hartanah yang dibangunkan khusus untuk tujuan kesihatan regeneratif.
Ujarnya, ia merupakan projek pertama seumpamanya yang telah berjaya dilaksanakan di tanah air mereka, Mesir dan menerima pengiktirafan di seluruh Asia Barat serta Eropah.
“Projek ini akan dibangunkan di atas tanah seluas lebih 80.9 hektar di Langkawi bagi memenuhi matlamat kesihatan regeneratif secara holistik.
“Kami berbesar hati membawa konsep ini ke Malaysia dan berharap ia menjadi permulaan kepada perjalanan yang berjaya bersama ALAA Consultancy serta rakan-rakan strategik lain pada masa depan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamed berkata, pihaknya turut merancang untuk memperluas pembangunan industri ini di Malaysia secara lebih menyeluruh.
“Bagi memastikan pembangunan industri ini berjaya dilaksanakan, kami menyasarkan sekurang-kurangnya lapan lokasi di seluruh Malaysia.
“Visi kami adalah untuk menubuhkan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan yang selari dengan konsep kesihatan dan kesejahteraan regeneratif,” ujarnya.-UTUSAN










