PETALING JAYA: Sime Darby Berhad (Sime) meraih keuntungan bersih berjumlah RM193 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2025, susut berbanding RM340 juta yang dicatatkan dalam suku sama tahun sebelumnya.
Hasil susut sebanyak 13.4 peratus kepada RM16.3 bilion daripada RM18.84 bilion setahun lalu.
Pada suku dalam tinjauan, bahagian perindustrian mencatatkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) yang lebih rendah sebanyak RM221 juta, terutamanya disebabkan penurunan keuntungan daripada bahagian operasi di Australasia.
Bahagian Motors melaporkan pengurangan PBIT sebanyak RM114 juta, dikaitkan dengan jualan kenderaan yang lebih rendah di kebanyakan pasaran serta peningkatan persaingan.
Bagi bahagian UMW, PBIT bagi suku dalam tinjauan sebahagian besarnya disumbangkan oleh bahagian automotif, terutamanya jualan Perodua yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, bahagian itu menyaksikan penurunan dalam PBIT kepada RM194 juta sebagai hasil daripada keadaan pasaran yang kompetitif.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pihaknya terus berdepan cabaran luar terutamanya di bahagian Motors dengan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan dan kebangkitan jenama automotif China yang semakin menguasai pasaran.
Ujarnya, segmen pengguna kekal mencabar di tengah-tengah perang harga berterusan dan lebihan pengeluaran industri di China.
“Bagi bahagian UMW, Toyota dan Perodua terus berprestasi di Malaysia. Walaupun kesan pelarasan harga alat ganti berkaitan mata wang. Prospek jangka panjang bagi bahagian perindustrian kami kekal positif di sebalik permintaan perlombongan yang teguh.
“Kami kekal fokus pada disiplin kos, pengurusan inventori yang cekap dan ketangkasan operasi untuk mengemudi persekitaran semasa. Hasilnya, pengurangan dalam inventori telah terhasil
dalam peningkatan RM1.7 bilion kepada aliran tunai operasi kami untuk sembilan bulan berakhir 31 Mac 2025.
“Walaupun landskap semasa sudah pasti sukar, aliran tunai operasi kami adalah positif dan kunci kira-kira kami kukuh, disokong oleh hasil yang mampan,” katanya dalam kenyataan.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac, kumpulan merekodkan untung bersih 9.9 peratus lebih tinggi pada RM1.29 bilion daripada tempoh yang sama sebelumnya.
Prestasi yang bertambah baik ini disebabkan terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada bahagian UMW dan keuntungan sekali sahaja yang lebih tinggi daripada pelupusan tanah Malaysia Vision Valley (MVV), walaupun keuntungan yang lebih rendah daripada bagahian perindustrian dan motors.
Hasil Kumpulan untuk sembilan bulan meningkat 8.2 peratus kepada RM52.3 bilion, berbanding RM48.3 bilion pada tahun kewangan sebelumnya. – UTUSAN