Sime Darby bakal kuasai perniagaan automotif negara - Utusan Malaysia

Sime Darby bakal kuasai perniagaan automotif negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Berhad (Sime Darby) bakal menguasai industri automatif negara berhubung syarikat itu mengambil alih 100 peratus kepentingan UMW Holdings Berhad (UMW), baru-baru ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, UMW juga bakal menjadi aset terpenting di Sime Darby.

Menurutnya, dengan memperoleh kepentingan dalam syarikat UMW, Sime Darby bakal mengaut keuntungan ekoran jenama UMW yang memang berleluasa dalam dunia perniagaan automatif di negara ini.

“Dengan memperoleh kepentingan tersebut, amat diyakini Sime Darby dapat memperluas pelaburan dalam perniagaan syarikat mereka.

“Ini kerana, UMW dilihat sebagai syarikat yang sememangnya mempunyai prospek pertumbuhan yang baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai penjenamaan UMW di bawah Kumpulan Sime Darby, beliau tidak dapat menjangkakan nilai harga produk automotif di pasaran kelak.

Dalam pada itu, Barjoyai berkata, Sime Darby akan mendapat manfaat kepada teknologi dan inovasi yang telah dimiliki oleh UMW menerusi penyelidikan mereka dalam pembuatan kereta dan pernigkatan kualiti produk.

“Akan tetapi, syarikat itu mampu meningkatkan daya saing dalam penjualan industri automatif, dalam masa yang sama dapat untuk memperkembangkan perkhidmatan dan portfolio produk.

“Selain itu, dengan pengambilalihan kepentingan UMW, kedua-dua syarikat itu berpeluang untuk bekerjasama dengan berkongsikan kaedah strategi bagi pembangunan operasi,” ujarnya.

Tambah beliau, Sime Darby juga akan dapat meningkatkan kedudukan kumpulan itu dalam pasaran, yang mana boleh menyebabkan pesaing besar mereka dalam industri automotif berkurangan.

“Dengan itu, nilai saham bagi Sime Darby di penyeneraiannya di Bursa Malaysia, dapat dipertingkatkan dengan melalui kenaikan hasil dan pendapatan serta pertumbuhan pasaran mereka.

“Sehubungan itu, UMW berpotensi mendapat pengaruh terbaik daripada pengurusan dan kepimpinan dalam syarikat Sime Darby yang ditonjolkan kepada rakan niaga dan pelanggan sebelum ini,” ujarnya.

Terdahulu, Sime Darby mengumumkan proses pengambilalihan 100 peratus kepentingan UMW berjaya disempurnakan dengan harga RM5.84 bilion, menjadikannya anak syarikat milik penuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN